malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr Dzul cadang cara-cara ‘jarakkan diri’ bukan 'lockdown'
Diterbitkan:  Mar 16, 2020 4:34 PM
Dikemaskini: 9:48 AM
ADS

Bekas menteri kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, juga tidak ketinggalan memberi nasihat bagi membendung penularan pandemik Covid-19 yang semakin menular di negara ini.

Beliau yang menerajui kementerian kesihatan semasa pentadbiran Pakatan Harapan, berkata adalah penting bagi Malaysia melaksanakan langkah-langkah pembendungan secara mitigasi untuk menangani pandemik tersebut.

"Malaysia perlu segera mengambil langkah-langkah tegas pada waktu yang tepat.

"Masyarakat diseru agar segera menjalankan 'langkah-langkah mitigasi mengikut gred' dengan meneruskan 'langkah-langkah pembendungan' bagi 'merendahkan lengkung epidemik' (bermakna menurunkan jumlah kes) yang berlaku ketika ini.

"Ini termasuk menguar-nguarkan elak aktiviti sosial (#Socialdistancing) sepertimana yang dipraktikkan Singapura dan Korea. Buakan model 'perintah berkurung/lockdown' seperti yang berlaku di China dan Itali," katanya dalam satu siri tweet hari ini.

Lengkung epidemik, atau epidemiologi, adalah carta statistik yang digunakan untuk mengambarkan permulaan wabak itu manakala menjauhkan diri sosial adalah tindakan untuk mengurangkan hubungan yang tidak perlu dengan menjarakkan diri dengan orang lain untuk menghentikan atau memperlambat penyebaran virus.

Dalam ciapan seterusnya, Dr Dzulkefly, yang kini sedang menerajui pasukan kerja atau taskforce Selangor untuk membendung serangan wabak tersebut, mencadangkan langkah-langkah berikut.

“Pertama, Tinggal di rumah kecuali mesti melakukan kerja-kerja yang perlu atau melawat klinik.

“Kedua, batal atau tangguh sebarang perhimpunan yang membabitkan lebih 50 orang.

“Ketiga, majikan perlu galakkan kakitangan supaya kerja dari rumah.

“Keempat, sekolah perlu lanjutkan cuti manakala universiti melakukan pengajaran melalui talian.

"Kelima, mohon orang ramai tidak berasa bimbang secara melulu dengan membuat pembelian panik,” katanya.

Seterusnya, menurut Dr Dzulkefly, rakyat perlu mengikut nasihat dan saranan daripada pihak kerajaan dan tidak mempercayai sebarang sebaran maklumat yang tidak sahih.

Sehingga hari ini, Malaysia mencatatkan 428 kes positif Covid-19, dengan sejumlah 190 kes dilaporkan semalam. Daripada 428 kes, 42 pesakit telah pulih dan telah meninggalkan hospital.

Selangor dan Kuala Lumpur merekodkan kes tertinggi dalam jumlah positif, dengan sejumlah 133 kes.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen