malaysiakini logo
story-image
ADS

KATA MP | Suka atau tidak, soal kaum memberi kesan kepada banyak bentuk, jika tidak semua, hubungan manusia sepanjang zaman, walau di mana sekalipun.

Ia bukan sahaja mendorong pengasingan antara satu kaum dengan kaum yang lain, bahkan ia juga turut membawa kepada keganasan dan kezaliman.

Malah ia menjadi subjek besar sejarah pelbagai negara. Kita ambil misalnya mungkin yang paling popular ialah penindasan kaum majoriti kulit hitam dalam Apartheid di Afrika Selatan atau penindasan kaum minoriti Yahudi semasa era Nazi.

Tidak terkecuali perhambaan di Amerika Syarikat. Lebih dekat dengan kita mungkin kaum Rohingya yang tidak diiktiraf di Myanmar. Kita juga pasti tidak melupakan tragedi di Yugoslavia.

Dalam kata lain, soal kaum ini sebenarnya tidaklah terhad pada wilayah tertentu sebaliknya ia menjadi fenomena sejagat.

Beberapa contoh besar ini jelas menunjukkan betapa besarnya kesan politik kaum sekiranya ia dibiarkan. Perbezaan kaum boleh menggugat kestabilan pentadbiran sesebuah negara, sama ada dalam proses pembentukannya atau pun pentadbiran yang sudah terbentuk.

Akhirnya, soal kaum ini mengancam demokrasi berparlimen itu sendiri.

Di sesetengah negara, pergolakan akibat daripada pergeseran kaum membuka laluan untuk corak pentadbiran autoritarian, sama ada melalui pemerintahan tentera atau pentadbiran autoritarian lain yang dibentuk khususnya bagi memastikan dominasi kaum tertentu atau menekan kaum tertentu.

Sesetengah negara terpaksa mengambil beberapa dasar yang tidak begitu baik atau menguntungkan semata-mata bagi memujuk kumpulan-kumpulan kaum yang bergeser agar memastikan tidak berlaku kekacauan lebih besar.

Dunia puas membicarakan soal kaum. Ia sudah kurang dibincangkan terutama selepas Apartheid di Afrika Selatan telah “dikalahkan”. Banyak pelajaran cuba diambil. Ini termasuklah perjanjian antarabangsa untuk menghapuskan semua bentuk diskriminasi kaum yang lebih popular dengan singkatan Icerd.

Namun, sikap optimis dalam mengharapkan soal kaum akan susut dan reda nampaknya menemui jalan buntu. Sukar dijelaskan sebabnya. Yang pasti, ia alat yang baik untuk mereka yang mahu mendapatkan atau mengukuhkan kuasa. Hatta mereka yang paling liberal pun tidak mampu keluar bila termasuk ke dalam pasir jerlus ini.

Kelompok sederhana yang sedar bahawa mereka mencari makan melalui kekuasaan kelompok perkauman terpaksa meraba-raba mencari hujah menjustifikasikannya.

Kemunculan kelompok kanan ekstrem

Kemunculan kelompok kanan ekstrem di seluruh dunia, bahkan juga di Malaysia, mungkin saja berpunca daripada sikap acuh tidak acuh kita kepada soal kaum. Sejarah menunjukkan di banyak negara seperti Jerman dan Amerika Syarikat, sebelumnya pernah menjadi tempat yang diidami oleh kaum minoriti sebelumnya diskriminasi menjadi satu bentuk arahan pemerintah.

Dasar-dasar yang dimulakan oleh Jim Crow yang mencirikan wilayah selatan Amerika Syarikat selama bergenerasi bermula daripada penentangan media kaum kulit putih di selatan, sebelum dalam beberapa tahun kemudian ia bukan sahaja semakin kukuh sebagai dasar, bahkan dilihat suci dan hanya segelintir kecil berani mempersoalkannya. Ia kemudian menjadi sesuatu yang dianggap sifat tabii mereka sejak zaman berzaman.

Sejarah juga menunjukkan bahawa diskriminasi kaum hanya mungkin dapat dihentikan melalui suara pemimpin kaum majoriti, baik sama ada kaum ini menindas atau ditindas. Abraham Lincoln dan Nelson Mandela pastilah menjadi dua nama yang cukup terkenal.

Bagi umat Melayu yang memeluk Islam, soal kaum ini bukanlah sesuatu yang asing dalam sirah Nabi SAW. Kepimpinan yang ditunjukkan Baginda SAW cukup jelas dalam soal kaum. Tidak ada sesiapa yang lebih mulia daripada yang lain melainkan melalui ketakwaan yang pastinya dalam pengetahuan Allah SWT.

Bahkan ketika membicarakan tentang assabiyyah, Nabi SAW mengaitkannya dengan nilai pemisah iaitu sikap adil dan memberi amaran bahawa pengamal assabiyyah itu bukanlah tergolong dalam kumpulan Baginda SAW.

Namun begitu, ia tidak beerti soal kaum hilang terus daripada fikiran ramai. Kita boleh melihat misalnya dalam usul menamakan pemimpin selepas kewafatan Nabi SAW, masing-masing cuba menonjolkan kepimpinan daripada kaum mereka.

Mujurlah, pemilihan khalifah Saidina Abu Bakar tidak dibuat berdasarkan pertimbangan kaum. Bayangkan jika begitu, pastilah penggerak perkauman akan berjubah mengeraskan suara menjadikannya hujah, bahkan fatwa!


AMIN AHMAD ialah ahli Parlimen Kangar. Beliau merupakan pengasas Institute for Leadership and Development Studies (Lead) dan penterjemah biografi tiga jilid Abraham Lincoln yang diterbitkan oleh Institut Buku Darul Ehsan (IBDE).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen