BERITA

Pembalakan: M'kini pertahan laporan mengenai menteri alam sekitar

12 Mac 2020, 10:55 pagi

Dikemaskini 4 bulan lepas

A
+
A
-

Malaysiakini mempertahankan laporan berita bertajuk "Tuan Ibrahim pertahan pembalakan di Kelantan” yang diterbitkan pada 11 Mac, 2020.

Laporan itu berdasarkan temu bual secara santai dengan Menteri Alam Sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man di Putrajaya semalam selepas sidang medianya yang sebelum itu disusuli upacara merakamkan waktu mula bekerja.

Seorang wartawan Malaysiakini telah meminta Tuan Ibrahim selaku menteri baru  dan ahli parlimen dari Kelantan, untuk mengulas mengenai bidasan terhadap kerajaan negeri berhubung isu pembalakan.

Ini adalah susulan pertikaian tanah yang membabitkan masyarakat Orang Asli di kawasan Gua Musang.

Hari ini, Kementerian Alam Sekitar mengeluarkan kenyataan yang mendakwa laporan itu tidak tepat. Walau bagaimanapun, kementerian itu tidak menyatakan secara khusus apa kesilapan berkenaan.

Menurut kementerian itu, aktiviti pembalakan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan Kementerian Alam Sekitar sebagai agensi yang menerajui isu-isu alam sekitar dan biodiversiti akan terus melaksanakan aktiviti pemuliharaan, pemeliharaan dan perlindungan khazanah semulajadi negara selaras dengan dasar-dasar serta undang-undang sedia ada.

Video perbualan dengan Tuan Ibrahim boleh disaksikan pada akhir artikel ini. Transkrip perbualan dan terjemahan yang berkaitan adalah seperti berikut:

Soalan: Tadi YB kata nak menjaga alam sekitar kan? Di negeri Kelantan selalu dikritik kerana pembalakan...

Tuan Ibrahim: Pembalak di Kelantan dapat sijil ISO. Compare negeri lain langsung tak dapat. Sebahagian itu kerana sentimen, kerana negeri pembangkang. Tetapi kami tengok secara serius untuk menanangi isu pembalakan. Cuma kami harap ini agensi bersama dengan kerajaan negeri, pembalakan dibawah kerajaan negeri. Kita kena bincang.

[Baca berita asal]

 

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Laporan Berkaitan