malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Covid-19: Wajar henti solat Jumaat, berjemaah jika ancam nyawa - Mufti
ADS

Pihak kerajaan mana-mana negara wajib mengambil apa juga langkah untuk mencegah penyakit berjangkit daripada tersebar dan mengancam kesihatan serta nyawa warganegaranya, kata Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Salim Wan Mohd Noor

Kata Dr Wan Salim, ini termasuklah tindakan menghentikan buat sementara solat berjemaah di masjid dan solat Jumaat.

"Agama Islam amat mementingkan kesihatan manusia di mana memelihara diri daripada perkara-perkara yang mudharat merupakan salah satu matlamat syarak.

"Walaupun solat Jumaat diwajibkan ke atas orang lelaki Muslim dan solat berjemaah amat digalakkan, tetapi jika dalam situasi yang mengancam nyawa dan keselamatan manusia maka tuntutan ini gugur dan dimaafkan," katanya kepada Malaysiakini.

Beberapa negara Islam baru-baru mengeluarkan garis panduan kepada umat Islam bagi membendung penyebaran wabak Covid-19.

Arab Saudi misalnya mengeluarkan larangan sementara kepada umat Islam daripada mengerjakan ibadah Umrah, manakala Iran menghentikan solat Jumaat buat sementara waktu. 

Pemerintah Indonesia pula menyarankan kepada warganegaranya yang beragama Islam agar menunaikan ibadat di rumah bagi mengelakkan jangkitan.

Bagaimanapun, fatwa mengenai solat Jumaat ketika berlakunya penyebaran wabak berkenaan adalah berbeza-beza bagi setiap negara.

'Tak salah hentikan sementara ibadah haji, umrah'

Mengulas lanjut, Dr Wan Salim berkata dalam situasi kritikal, umat Islam wajar dinasihatkan supaya menunaikan kewajipan solat di rumah masing-masing sehingga keadaan kembali normal. 

"Hukum yang sama boleh diaplikasikan juga terhadap ibadat haji dan umrah.

"Tindakan Kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan umat Islam daripada memasuki negaranya untuk mengerjakan ritual tersebut untuk membendung penularan penyakit berjangkit Civid 19 tidak salah sama sekali mengikut hukum Islam.

"Memang kaedah fiqah menyatakan bahawa tindakan atau polisi kerajaan ke atas rakyat hendaklah bersandar kepada maslahah atau kepentingan mereka," katanya.

Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad pula berkata pihak berkuasa agama wajar mengeluarkan garis panduan bagi umat Islam untuk mengelak jangkitan wabak berkenaan.

“Ia merupakan langkah pencegahan yang baik kerana wabak atau penyakit seperti ini sudah berlaku sejak zaman Rasulullah SAW ketika Saidina Umar keluar menuju ke Syam sehingga beliau sampai ke kawasan Sargh kerana penyakit taun,” jelasnya ketika dihubungi.

Dalam pada itu beliau berkata, kebanyakan surau dan masjid di Kelantan telah melakukan inisiatif sendiri menunaikan solat hajat dan bacaan qunut nazilah bagi menghindar wabak berkenaan.

Sementara itu, ketika ditanya apakah Solat Jumaat akan diteruskan jika penyebaran virus Covid-19 semakin berleluasa, Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad berkata ia bergantung kepada pengumuman Kementerian Kesihatan mengenai tahap darurat penyakit berkenaan.

 "Melalui kenyataan yang dikeluarkan KKM, fatwa atau pandangan hukum akan dikeluarkan,” balas beliau dalam satu ciapan kepada seorang pengguna Twitter. 



Lihat Komen