malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ku Nan jual saham untuk jadi menteri 'sifar hutang'
ADS

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Mansor, memberitahu mahkamah hari ini beliau menjual kebanyakan saham dan syarikat miliknya sebelum menyertai kabinet.

Kata Tengku Adnan langkah menjual kebanyakan saham dan syarikat itu dibuat agar beliau menjadi menteri "sifar hutang".

“Saya kekalkan tiga syarikat sahaja, yang lain saya jual kerana saya nak jadi menteri sifar hutang.

“Saya jual banyak syarikat, jadi saya boleh sifar hutang dan boleh fokus dengan tugas (sebagai menteri) yang diberikan kepada saya,” katanya.

Tengku Adnan berkata demikian semasa menjawab soalan peguam belanya, Tan Hock Chuan, dalam sesi pemeriksaan semula ketika membela diri di depan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan.

Ahli Parlimen Putrajaya itu dibicarakan atas tuduhan menerima rasuah sebanyak RM2 juta daripada ahli perniagaan, Chai Kin Kong.

Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan Tengku Adnan sebagai penjawat awam yang tidak mematuhi kod etika kerana memiliki saham dalam beberapa syarikat.

Menurut Tengku Adnan, beliau membuat keputusan untuk mengekalkan tiga syarikat sahaja ketika dicadang melantik sebagai menteri.

Umno tak rekodkan sumbangan

Bagaimanapun, beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Nan tidak menjelaskan secara spesifik tarikh-tarikh menjual syarikat yang disebutkannya.

“Saya simpan tiga syarikat ini sahaja. Saya hilang banyak duit kerana jual saham syarikat.

“Saya jual saham di Mutiara Telekom yang hari ini (dikenali) Digi, dan saya jual hanya RM480 juta sahaja dan hari ini ia bernilai RM5 bilion.

“Saya juga jual saham di Hyundai dan simpan saham marginal 15 peratus saja yang hari ini dikenali Sime Darby (Hyundai). Tapi, saya kekalkan saham di syarikat keluarga saya yang membuat pelbagai jenis perniagaan,” katanya.

Menurut Bendahari Agung Umno itu, tiga syarikat yang dimaksudkan itu ialah Tadmansori Holdings Sdn Bhd, Hyudai Franchise dan sebuah syarikat disenarai awam yang dijual kemudian.

Beliau juga mengesahkan ada memberitahu perdana menteri mengenai pemilikan saham tiga syarikat itu.

“Ya, saya mengisytiharkannya kepada perdana menteri,” katanya.

Pada 14 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Tengku Adnan membela diri atas tuduhan rasuah itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Beliau - sebagai penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan - didakwa menerima untuk dirinya wang RM2 juta daripada Chai iaitu Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang didepositkan ke akaun Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad cawangan Pusat Bandar Damansara, di Kuala Lumpur pada 14 Jun 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, menjawab soalan lain Tengku Adnan berkata biasanya Umno tidak mencatitkan rekod sumbangan yang diterima kerana takut maklumat itu jatuh ke tangan pihak ketiga.

“Kami tidak pernah rekodkan sumbangan politik kerana kami tak nak maklumat itu jatuh ke tangan (pihak) yang salah,” katanya.

Perbicaraan ditangguhkan sehingga 25 Mac depan.

Lihat Komen