malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PM tangguh sidang parlimen ikut peraturan - Pegawai speaker
Diterbitkan:  Mar 5, 2020 1:35 PM
Dikemaskini: 5:35 AM
ADS

Tindakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menangguhkan persidangan parlimen ke 18 Mei depan adalah sejajar Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat, kata seorang pegawai parlimen.

Wan Anwar Wan Ibrahim yang merupakan pegawai khas kepada speaker Dewan Rakyat berkata, dakwaan seorang peguam yang mengatakan Muhyiddin perlu memberikan sekurang-kurangnya notis 28 hari sebelum menangguhkan sesi persidangan di parlimen adalah tidak tepat.

Beliau dipercayai merujuk kepada penasihat undang-undang Suaram, Amir Abdul Hadi yang dipetik sebuah portal atas talian, The Leaders sebagai berkata, tempoh notis sedemikian perlu diberikan sejajar dengan Aturan Mesyuarat 11(3).

Bagaimanapun, Wan Anwar menegaskan bahawa Aturan Mesyuarat 11(3) adalah berhubung mengadakan persidangan kecemasan (emergency sitting) sebelum Dewan Rakyat sepatutnya berlangsung, di mana ia tidak memerlukan notis 28 hari itu.

Notis 28 hari itu perlu di bawah Aturan 11(2), tetapi Wan Anwar berkata ia merupakan peraturan di mana ahli parlimen mesti dimaklumkan terlebih dahulu sebelum dewan rakyat diadakan.

Katanya, perdana menteri boleh menukar tarikh sesi persidangan selagi anggota parlimen diberikan tempoh 28 hari notis sebelum persidangan pertama.

“Jadi, kesimpulannya pandangan peguam tersebut mengenai isu ini, pada hemat saya adalah tidak benar dan ia perlu diperbetulkan,” katanya.

Parlimen sepatutnya bersidang pada Isnin depan, namun selepas bertukar kerajaan, ia ditangguhkan ke 18 Mei depan.

Penangguhan itu berlaku ketika terdapat gesaan untuk mengajukan usul tidak percaya di parlimen, bagi menguji sekiranya Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti.

Pemimpin DAP Ramkarpal Singh juga berkata bahawa urusan kerajaan lain boleh ditangguhkan ke Mei, tetapi persidangan di parlimen perlu diadakan untuk menentukan siapa yang mempunyai sokongan majoriti.

Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa apabila seorang perdana menteri itu hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat, maka beliau perlu meletakkan jawatan, melainkan Yang di-Pertuan Agong memutuskan untuk membubarkan parlimen. 

Lihat Komen