malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sidang Dewan Rakyat ditangguh ke 18 Mei
Diterbitkan:  Mar 4, 2020 8:35 AM
Dikemaskini: 5:02 AM
ADS

Sidang Dewan Rakyat yang pada mulanya dijadual bermula 9 Mac ini telah ditangguh ke 18 Mei, menurut yang dipertuanya Mohamad Ariff Md Yusof.

Menurut Berita Harian hari ini, Ariff berkata beliau telah menerima surat makluman berkenaan tarikh baru untuk sidang ketiga Parlimen ke-14 daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.

“Surat sudah diterima malam tadi. Kenyataan akhbar akan dikeluarkan oleh Parlimen pagi ini.

“Tiada persidangan pada 9 Mac (Isnin). Tarikh baharu Istiadat Pembukaan Parlimen ialah 18 Mei 2020,” katanya seperti dipetik.

Dewan Rakyat pada mulanya dijadual bersidang bermula 9 Mac hingga 16 April, dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merasmikannya.

Bagaimanapun sumber sebelum ini membayangkan ia akan ditangguhkan bagi memberi masa kepada Muhyiddin untuk melantik barisan kabinetnya.

"Terdapat juga beberapa perkara yang perlu diselesaikan.

"Soalan-soalan untuk sidang Parlimen ini telah dikemukakan lebih awal jadi masa diperlukan untuk mengubah Aturan Urusan Mesyuarat dan juga soalan kini akan dijawab oleh menteri-menteri kabinet baru," kata sumber itu.

Ia juga membantutkan rancangan PH yang sebelum ini membayangkan mungkin akan mengusulkan undi tidak percaya kepada Muhyiddin, selepas keruntuhan kerajaan PH ketika kemelut politik yang berlaku sepanjang minggu lalu.

Sementara itu, Bernama memetik Ariff sebagai berkata, beliau telah menerima surat pemakluman mengenai perkara itu yang ditandatangani oleh Muhyiddin sebagai ketua majlis.

"(Ia) memaklumkan bahawa pihak kerajaan memutuskan bahawa Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 yang sepatutnya bermula pada Isnin, 9 Mac ditunda kepada Isnin, 18 Mei, 2020, katanya dalam kenyataan hari ini.

Istiadat pembukaan Parlimen akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 10 pagi, 18 Mei.

Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat akan berlangsung selama 15 hari, iaitu hingga 23 Jun.

Kenyataan itu menyebut bahawa Dewan Rakyat tidak bersidang pada 26 hingga 28 Mei kerana Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut pada 24 dan 25 Mei, serta perayaan Hari Gawai pada 1 dan 2 Jun.

Ia juga tidak bersidang pada 8 Jun iaitu Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat pula dijadual berlangsung 17 hari, mulai 27 Julai hingga 27 Ogos dengan pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 dijadualkan pada Khamis, 6 Ogos.

Ia tidak bersidang pada Khamis, 30 Julai kerana Hari Raya Aidil Adha yang dijangka disambut pada 31 Julai, serta pada 19 dan 20 Ogos sempena Awal Muharam.

Seterusnya, Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat dijadual diadakan selama 36 hari, mulai 28 Sept hingga 26 Nov.

Ia bakal menyaksikan pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) pada Jumaat, 2 Okt.

Dewan Rakyat tidak bersidang pada 29 Okt kerana sambutan Maulidur Rasul.

Mohamad Ariff berkata ketetapan tarikh-tarikh mesyuarat itu adalah selaras dengan Peraturan 11(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Menurutnya, Notis Panggilan Mesyuarat akan dikeluarkan kepada semua Ahli Dewan.

Lihat Komen