malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tian Chua kesal gagal pulihkan perpecahan PKR
Diterbitkan:  Mar 3, 2020 4:30 PM
Dikemaskini: 8:30 AM
ADS

Naib Presiden PKR Tian Chua mengaku bahawa perbalahan dalaman partinya mewujudkan ketidakstabilan yang menjadi antara sebab kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau berkata PKR merupakan parti yang majmuk dan perbezaan pandangan adalah perkara biasa. Katanya, di sebalik perbezaan itu, mereka bersatu melawan musuh yang sama, iaitu Umno dan BN.

Namun, beliau berkata keadaan semakin bertambah buruk selepas PKR dan Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum (PRU) 2018.

"Kita tak dapat eratkan semula oleh kerana kehilangan kepercayaan antara pemimpin," katanya dalam temu bual dengan Sinar Harian.

PKR berpecah antara kem yang menyokong presiden parti, Anwar Ibrahim dan kem yang menyokong timbalan presiden, Mohamed Azmin Ali.

Minggu lalu, Azmin dan 10 anggota parlimen PKR yang lain bergabung dengan Bersatu yang membawa kepada tumbangnya PH.

Dua ahli parlimen daripada kumpulan itu kembali menyokong PH, sementara Azmin dan yang lain menyertai Bersatu, yang kini merupakan sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional yang diketuai oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, termasuk Umno dan PAS.

Tian Chua, yang juga dikaitkan sebagai penyokong Azmin, berkata beliau cuba menyatukan puak-puak yang berselisih tetapi gagal.

"Saya harus akui bahawa usaha saya tidak berhasil, saya benar-benar menyesal dan saya kecewa, saya menjadi sebahagian daripada masalah ini, dan saya tidak dapat mengemukakan penyelesaian yang baik.

"Saya rasa bertanggungjawab," katanya.

Tambahnya, permusuhan antara kedua-dua belah pihak telah menyebabkan kekecohan di luar ibu pejabat PKR pada Sabtu lalu.

Anggota PKR yang hadir berang dengan pemimpin yang dikaitkan sebagai penyokong Azmin, termasuk Tian Chua sendiri yang diserang oleh salah seorang ahli parti.

Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Batu berkata ia adalah perkara kecil dan dia tidak mahu memperbesarkannya.

Tian Chua juga berkata bahawa beliau kekal sebagai ahli PKR, dan dia secara peribadi tidak bercanggah dengan Anwar.

Jelas Tian Chua, pada masa depan, era tokoh-tokoh politik lama sudah berakhir.

"Orang tidak akan ingat bagaimana Tian Chua bertempur dengan Unit Rizab Persekutuan (FRU) atau bagaimana Dr Mahathir Mohamad menggulingkan BN.

"Akan ada pemimpin baru, dan mereka akan menentukan masa depan," katanya.

Beliau menyebutkan bagaimana presiden Indonesia Joko Widodo bukan salah seorang tokoh zaman Reformasi yang menurunkan kediktatoran Soeharto, tetapi pemimpin baru dengan visi baru untuk negara.

Lihat Komen