malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Siti Mariah: PAS boleh bawa RUU355 di sidang pertama Dewan Rakyat
Diterbitkan:  Mar 3, 2020 9:13 AM
Dikemaskini: 1:13 AM
ADS

Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, atau lebih dikenali sebagai RUU355, harus dibawa ke sidang pertama Dewan Rakyat di bawah kerajaan baru, kata Naib Presiden Amanah Siti Mariah Mahmud.

Katanya, PAS tidak boleh memberi sebarang alasan lagi memandangkan parti itu kini sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Drafnya sudah ada. Sambung saja usaha PAS yang terbantut sebelum ini. Selepas itu bolehlah Kelantan melaksanakan hukum Hudud yang dijanjikan.

"Tiada lagi halangan dari 'munafiqun dan musyrikun' PH. Jangan bagi alasan fiqh aulawiyat (keutamaan) pula," katanya lagi dalam satu hantaran Facebook hari ini.

RUU355 adalah satu usul persendirian yang pernah dibawa PAS untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355). Ia bagi meningkatkan bidang kuasa hukuman mahkamah itu berhubung kesalahan jenayah Syariah.

Melalui cadangan pindaan itu, mahkamah syariah boleh mengenakan hukuman yang lebih tinggi berbanding penjara sehingga tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan tidak melebihi enam kali pada masa ini.

Pindaan itu mencadangkan seorang pesalah boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan sebatan boleh dibuat sehingga 100 kali.

Menurut Siti Mariah lagi, PH terutama DAP dan Amanah tidak lagi boleh disalahkan jika RUU355 tidak dibawa ke sidang Parlimen untuk diluluskan.

"Dulu tuduh DAP halang dan Amanah tidak tegakkan Islam dalam kerajaan PH. Sekarang PAS adalah komponen Perikatan Nasional, segerakan (bawa RUU355)," katanya lagi.

Bagaimanapun sumber memberitahu Malaysiakini bahawa sidang Parlimen pada 9 Mac ini akan ditangguhkan, antara lain bagi membolehkan menteri kabinet dilantik terlebih dulu.

Ketika pentadbiran BN, RUU persendirian itu pernah dibawa tiga kali oleh anggota parlimen Marang yang juga presiden PAS, Abdul Hadi Awang tetapi belum pernah dibebaskan.

Selepas PRU ke-14, beberapa pemimpin PAS pernah meminta kerajaan PH memberi lebih ruang untuk perkara itu dan sekali lagi dibawa ke Parlimen.


Lihat Komen