malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Dr M: Agong tak jumpa, yang kalah jadi kerajaan
ADS

Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk mengadap dan menunjukkan jumlah ahli parlimen yang menyokongnya sebagai perdana menteri.

Pada sidang media pagi ini juga, Mahathir memberitahu bahawa Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, tidak mempunyai sokongan majoriti untuk menubuhkan kerajaan.

"Agong telah membuat keputusan untuk tidak berjumpa saya lagi tetapi (mahu) untuk melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri, jadi saya tidak mempunyai peluang untuk memberitahu Agong bahawa dia (Muhyiddin) tidak mempunyai majoriti. Itu sahaja... Saya tidak boleh berkomunikasi dengan istana [...],"katanya di bangunan Yayasan Albukhary, Kuala Lumpur.

Justeru kata perdana menteri sementara itu, majlis angkat sumpah di Istana Negara jam 10.30 pagi tadi menyaksikan seorang anggota parlimen yang tidak mempunyai sokongan majoriti namun dilantik menubuhkan kerajaan.

“Yang kalah akan tubuhkan kerajaan, manakala yang menang jadi pembangkang. Ini situasi yang pelik,” katanya.

Malam tadi Mahathir yang juga pengerusi PH mendakwa pakatan itu mendapat sokongan daripada 114 anggota parlimen, justeru wajar mendapat pertimbangan untuk menjadi kerajaan.

Bagaimanapun untuk rekod beberapa anggota parlimen yang namanya disenaraikan membuat dakwaan mereka tidak menyokong Mahathir.

Sesetengah pemimpin pula dilihat hadir di pertemuan Mahathir dan Muhyiddin pada masa yang berbeza.

Jumlah kerusi minimum yang diperlukan oleh pihak yang mahu membentuk kerajaan ialah 112 berdasarkan 222 kawasan parlimen yang ada di seluruh negara.

Mahathir berkata sehingga semalam PH mempunyai 92 ahli parlimen dan mengambil kira enam wakil rakyat daripada - Bersatu termasuk beliau - Warisan dari Sabah dan beberapa ahli parlimen bebas mereka mendapat sokongan 114 sehingga malam tadi.

Ketika ditanya apakah reaksi Istana Negara mengenau senarai sokongan yang ada, Mahathir berkata bahawa beliau tidak berpeluang memberitahu hal tersebut kepada Agong.

“Agong membuat keputusan untuk tidak perkenan saya tapi melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri.

“Jadi, saya tidak berpeluang memberitahu Agong bahawa dia (Muhyiddin) tidak mempunyai sokongan majoriti. Itu lah situasi sekarang, saya tidak dapat berkomunikasi dengan istana,” kata Mahathir.

Menurut beliau lagi, mengikut undang-undang Agong boleh melantik seseorang - yang dipercayai baginda mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat - sebagai perdana menteri.

Perdana menteri yang dipilih itu bagaimanapun tidak boleh memegang jawatan tersebut sekiranya ditolak di parlimen dengan undi majoriti.

Mengenai langkah selanjutnya akan diambil PH, Mahathir berkata, mereak akan meminta agar diadakan sidang tergempar parlimen untuk menguji sokongan kepada perdana menteri.

Pada masa sama beliau menjelaskan PH percaya "banyak perkara boleh berlaku" apabila perdana menteri sudah dilantik, termasuk kemungkinan sokongan yang diterima mereka akan merosot.

Ditanya jika beliau berasa kesal kerana meletak jawatan sebagai perdana menteri, kata Mahathir, beliau tidak mempunyai pilihan apabila Bersatu mengambil keputusan keluar Dari PH dan menubuh kerajaan dengan Umno.

“Itu bermakna saya kena terima orang yang saya tentang kerana rasuah.

“Saya tak sedia untuk berbuat begitu, tapi Muhyiddin bersedia," katanya.

Lihat Komen