BERITA

Dr M umum ada sokongan majoriti lepas PH kembali sokong

29 Feb 2020, 1:42 pagi

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Perdana Menteri Interim, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa beliau kini mempunyai angka mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.

Ini selepas beliau bertemu dengan pemimpin Pakatan Harapan pagi ini.

"Saya yakin bahawa saya mempunyai bilangan yang diperlukan untuk mendapatkan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

"Oleh itu, saya bersedia untuk menjadi calon perdana menteri.

"Keputusan ini akan disampaikan kepada Yang Di-Pertuan Agong," katanya dalam satu kenyataan.

Pakatan Harapan, dalam kenyataan yang berasingan, mengesahkan bahawa gabungan itu akan menyokong Mahathir.

Perjanjian antara Mahathir dan PH masih tidak jelas memandangkan tidak dapat dipastikan sama ada perdana menteri interim itu bersetuju menubuhkan kembali kerajaan PH yang lama, atau PH akhirnya akan akur dengan rancangan Mahathir untuk menubuhkan kerajaan perpaduan tanpa berasaskan parti.

Bagaimanapun, PH dalam satu kenyataan hari menegaskan yang ia akan terus mengotakan janji dalam manifestonya pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

“PH berpegang teguh kepada prinsip dan akan terus memperjuangkan manifesto PH dalam kerajaan,” katanya.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, ketika ditanya apakah Mahathir akan mengembalikan kerajaan PH, hanya menjawab “Ya”, tanpa mengulas lanjut.

Sementara itu, Mahathir dalam kenyataannya pula, berkata beliau tidak pernah mengisytiharkan sokongannya kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

“Seperti yang saya nyatakan berulang kali, saya menentang apa jua bentuk kerjasama dengan individu yang dikenali sebagai perasuah, dan merupakan sebahagian daripada pentadbiran kleptokrasi yang kerajaan PH telah singkirkan dengan begitu susah payahnya.

“Atas dasar prinsip, saya telah sampaikan (pendirian) ini kepada anggota Parlimen Bersatu dalam mesyuarat semalam.

“Saya tidak menandatangani apa-apa akuan bersumpah (SD) bagi menyokong mana-mana individu,” katanya.

Jelasnya lagi, beliau keluar awal daripada mesyuarat itu bagi memberi ruang anggota parlimen Bersatu berdebat secara bebas bagi memilih siapakah yang dirasakan sesuai untuk jawatan perdana menteri.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, meskipun saya tak bersedia untuk bekerja dengan mereka yang korup dari Umno, saya boleh menerima mereka secara individu, asalkan mereka terbukti bersih (dari rasuah).

“Mungkin Muhyiddin lebih bersikap tidak kisah dalam pendekatan ini,” katanya.

Sokongan PH kepada Mahathir berlaku di tengah-tengah cubaan Muhyiddin untuk kembali merealisasikan Perikatan Nasional yang pada asalnya digagaskan untuk mengganti kerajaan PH pada Ahad lalu.

Gerakan itu mahu Mahathir menjadi perdana menteri di bawah gabungan baru yang terdiri daripada Bersatu, bekas PKR yang diketuai anggota Parlimen Gombak Azmin Ali, BN, PAS, GPS, dan Warisan.

Gerakan itu terbantut apabila Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Tindakan Mahathir itu turut meruntuhkan kerajaan PH. Pemimpin PH melobi Mahathir untuk mengembalikan kerajaan PH tetapi mereka kemudiannya menamakan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri setelah mendapat tahu niat Mahathir yang mahu menubuhkan kerajaan perpaduan yang tidak berasaskan parti.

BN dan PAS, yang sebelum ini menyokong Mahathir dan percaya beliau akan mengetuai Perikatan Nasional, kemudiannya menuntut agar Parlimen dibubarkan setelah mendapat tahu rancangan Mahathir itu.

Semalam pula, mereka memutuskan untuk menyokong Muhyiddin selepas kelihatan ada harapan untuk Perikatan Nasional kembali direalisasikan.

Semalam, Anwar dan Muhyiddin dilihat seperti pesaing utama untuk jawatan perdana menteri. Hari ini, nampaknya, Mahathir kembali mendahului. 

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.