malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
LANGSUNG: Mukhriz minta semua pihak sabar isu k'jaan Kedah
ADS

LANGSUNG | Malaysiakini melaporkan perkembangan terkini mengenai keadaan politik semasa berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan semalam.

Baca laporan langsung Malaysiakini pada 23 Feb (Ahad), 24 Feb (Isnin) dan 25 Feb (Selasa).

Jika anda suka laporan kami, sokong media bebas dengan melanggan Malaysiakini dengan harga serendah RM0.55 sehari. Maklumat lanjut di sini.

LANGSUNG

11.20 malam: Alor Setar - Kabinet negeri Kedah bertemu di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon malam ini, lapor Bernama.

Pertemuan berkenaan berlangsung ketika situasi politik di negeri itu tidak jelas berikutan langkah Bersatu keluar dari Pakatan Harapan.

PAS kini menguasai 15 kerusi dalam dewan undangan negeri yang mempunyai 36 anggota. Pakatan Harapan memegang 13 kerusi, Bersatu mempunyai enam kerusi, manakala Umno memegang dua kerusi.

Kerajaan negeri dan pembangkang belum mengeluarkan sebarang kenyataan terbuka berhubung kemungkinan berlaku perubahan dalam pentadbiran negeri.

"Bersabar, berilah saya masa untuk bertemu dengan rakan-rakan saya sebelum saya mengeluarkan kenyataan. Ada banyak lagi perkara yang perlu saya lakukan untuk memastikan masa depan Kedah," kata Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir, ketika tiba di Alor Setar menaiki pesawat dari Kuala Lumpur.


11:00 malam: Petaling Jaya - Bercakap dalam sebuah forum awam, Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang mendedahkan bahawa PH mengetahui mengenai rancangan Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan kerajaan perpaduan pagi tadi, selepas DAP telah memberi sokongan kepadanya sehari sebelum itu.

Beliau berkata setiausaha agung DAP Lim Guan Eng telah bertemu Mahathir pagi itu untuk meminta beliau terus menjadi perdana menteri Pakatan Harapan, tetapi kemudian diberitahu mengenai rancangan Mahathir untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

Kata Kit Siang, PH tidak dapat menerima cadangan itu kerana perdana menteri akan mempunyai kuasa mutlak dan pihak yang menyebabkan tumbangnya PH mungkin memegang jawatan tinggi.

"Kerajaan perpaduan yang terdiri daripada ahli parlimen terbaik dan paling bijak adalah idea yang baik, tetapi jika anda mempunyai kerajaan perpadua, orang yang memusnahkan PH mungkin akan memegang kedudukan penting.

"Bagaimana boleh berlaku? Bagaimanakah ada perpaduan nasional? Bagaimanakah ada perdamaian nasional?" katanya, berdasarkan rakaman acara itu.


10.30 malam: Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata bahawa beliau yakin presiden partinya, Anwar Ibrahim akan menjadi perdana menteri ke-8.

Bercakap di program Ruang Bicara Bernama TV, beliau mendakwa bahawa Anwar mendapat sokongan lebih daripada 92 ahli parlimen.

Untuk rekod, 92 adalah jumlah ahli parlimen dari PKR, DAP dan Amanah.

"Walaupun kita bermula dengan 92 ahli parlimen, tetapi sokongan dari ahli parlimen di istana hari ini, kita mendapat lebih daripada 92," kata Saifuddin, dalam menjawab soalan pengacara program yang bertanya sama ada beliau yakin Anwar akandapat sokongan yang cukup.


10.00 malam: Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal menafikan dakwaan yang mengatakan beliau telah menghantar wakil ke Istana Negara dan wakil itu tidak dibenarkan berjumpa Agong.

Ahli Parlimen Semporna itu menegaskan bahawa beliau telah mengunjungi istana dan telah melakukan apa yang diharapkan daripada sebagai ahli parlimen.

Terdahulu, Nanyang Siang Pau melaporkan bahawa Shafie dan Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz tidak hadir di istana tanpa memberi alasan.

Akhbar itu juga mendakwa bahawa Shafie telah menghantar seorang pembantu untuk mengadap Agong, namun ditolak.


6:45 petang:  Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata partinya akan mematuhi sebarang keputusan yang diambil oleh Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Artikel 40 (2) (a) dan (b), Perkara 43 (2) (a) dan Perkara 55 (2) perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan-peruntukan berkenaan berkaitan dengan kuasa Agong melantik seorang Perdana Menteri pada yang pada hematnya mendapat kepercayaan majoriti Dewan Rakyat, untuk membubarkan Parlimen, dan persetujuan terhadap permintaan untuk membubarkan parlimen.

Beliau menambah kerajaan negeri yang dipimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bertindak demi kepentingan negara, tetapi tanpa mengorbankan hak dan kepentingan rakyat Sarawak.

"Kebimbangan paling penting adalah Malaysia mesti mempunyai kestabilan politik bagi membolehkan negara bergerak ke hadapan.

"Negara ini berhadapan dengan masalah ekonomi yang timbul daripada ketidaktentuan termasuk wabak Covid-19 yang mesti ditangani dengan bersungguh-sungguh dan cepat," katanya dalam satu kenyataan melalui pejabat ketua menteri.


Anwar sahkan PH calonkan dirinya sebagai PM

5.55 petang: Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa anggota parlimen Pakatan Harapan (PH) memberikan sokongan kepadanya sebagai calon Perdana Menteri.

Beliau berkata PH telah menjemput Mahathir untuk menghadiri mesyuarat Majlis Presiden pada Selasa lalu, tetapi ditolak perdana menteri interim itu.

"Justeru itu keputusan Majlis Presiden semalam telah menetapkan bahawa calon perdana menteri Pakatan Harapan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata beliau ketika membacakan kenyataan daripada gabungan itu.

Ditanya mengenai jumlah sokongan diperolehnya, Anwar berkata adalah tidak manis untuk menyatakan perkara itu dan menyerahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong. 

 


5.45 petang: Pejabat Perdana Menteri (PMO) - Kenderaan rasmi yang membawa Dr Mahathir Mohamad dilihat keluar dari bangunan Perdana Putra pada jam 5.30 petang.

Dr Mahathir keluar dari bangunan PMO selepas menyampaikan perutusan Khas bagi menjelaskan situasi politik yang melanda negara hari ini.

Bagaimanapun, Mahathir tidak keluar dari laluan protokol sebaliknya melalui pintu A.

Petugas media turut difahamkan sehingga petang ini tidak ada pertemuan antara Mahathir dengan Ketua Menteri Sabah, Shafie Afdal.

Semalam, Shafie dilapor akan bertemu Dr Mahathir di pejabat perdana menteri hari ini.


Peguam: Kerajaan perpaduan wujudkan kerajaan yang tiada kebertanggungjawaban

5.30 petang - Peguam, Syahredzan Johan berkata kerajaan perpaduan akan mewujudkan kerajaan yang tidak mempunyai kebertanggungjawaban.

Dalam satu siri tweet, Syahredzan, yang juga setiausaha politik kepada anggota parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ini kerana pengundi mungkin mengundi berdasarkan manifesto parti yang bertanding, atau sebahagian daripadanya.

"Sebagai contoh, jika PH (Pakatan Harapan) tidak memenuhi manifesto, mereka boleh dihukum dalam pilihan raya akan datang.

"Tetapi kerajaan perpaduan tidak akan mempunyai kekangan ini - ia boleh melakukan apa sahaja yang ia mahu tanpa kesan politik," katanya menerusi Twitter.

Beliau kemudiannya menambah negara ini perlu beralih daripada era 'kerajaan tahu segalanya'. 

 


Anwar dijangka adakan sidang media jam 5.30 petang

5:14 petang: Ibu pejabat PKR, Petaling Jaya - Presiden PKR Anwar Ibrahim dijangka mengadakan sidang media sekitar jam 5.30 petang.

Sidang media di ibu pejabat PKR itu pada awalnya dijadualkan pada pukul 4.30 petang tetapi ditangguhkan untuk memberi laluan kepada perutusan khas oleh Perdana Menteri interim, Dr Mahathir Mohamad yang disiarkan secara langsung di televisyen pada jam 4.45 petang.

Pemimpin PKR itu kini sedang meneliti kenyataan Mahathir sebelum meneruskan sidang akhbar tersebut.


Semua MP selesai ditemubual Agong hari ini

5 petang: Difahamkan semua anggota parlimen yang dijadualkan pada sesi hari ini telah ditemubual oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.


Dr M mahu tubuh kerajaan tak memihak mana-mana parti

4.52 petang: Dr Mahathir dalam perutusan khasnya berkata sekiranya diberi peluang beliau mahu menubuhkan sebuah kerajaan yang tidak memihak kepada mana-mana parti.

"Saya tidak cari untuk disukai ramai. Saya hanyalah membuat sesuatu saya anggap baik bagi negara.

"Politik, orang politik dan parti politik terlalu utama politik sehingga lupa negara menghadapi masalah ekonomi dan kesihatan yang mengancam negara.

"Saya berpendapat betul atau tidak, politik dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang.

"Jika dibenar saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti. Hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan," katanya.

 Baca teks penuh di sini


Dr M: Saya tak boleh terima Umno dalam kerajaan

4.51 petang: Dalam perutusan khasnya, perdana menteri interim, Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak boleh terima Umno sebagai sebuah parti dalam kerajaan.

"Saya sanggup terima ahli Umno yang keluar Umno dan menyertai parti lain. Tetapi Umno akan sertai kerajaan campuran ini sebagai parti Umno. 

"Ini tidak dapat diterima oleh saya. Maka terpaksalah saya letak jawatan," katanya.


4.50 petang: Dalam perutusan khas yang disiar secara langsung, antara lain Dr Mahathir berkata beliau bukan seorang yang gila kuasa.

"Ada banyak sebab mengapa saya meletak jawatan tetapi cukuplah saya katakan bahawa saya merasa kononnya mendapat sokongan dari semua pihak sehingga saya tidak dapat memilih pihak mana yang saya pilih.

"Selain itu, terdapat juga tuduhan bahawa saya tidak berniat untuk melepas jawatan dan gila kuasa

"Maka saya letak jawatan kerana saya tidak melihat kuasa dan jawatan itu sebagai “be all and end all” adalah matlamat saya. 

Beliau berkata, kuasa atau kedudukan hanyalah alat untuk mencapai objektif demi kebaikan negara.

"Kerana itu saya meletak jawatan kerana bagi saya ternampak bahawa bagi orang politik yang terpenting ialah parti mana yang memerintah, sama ada yang kalah atau yang menang," katanya. 


Dr Mahathir mohon maaf pada rakyat Malaysia

4.45 petang: Dr Mahathir Mohamad memulakan perutusan khasnya yang disiar secara langsung dengan memohon maaf kepada rakyat Malaysia berikutan keadaan politik yang melanda negara sekarang.

"Terlebih dahulu izinkan saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana keadaan politik negara yang agak kucar-kacir dan mungkin menimbulkan keresahan di kalangan tuan-tuan dan puan-puan.

"Seperti umum ketahui, saya telah menyerah surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7 kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," kata perdana menteri interim itu.

Baca teks penuh di sini


4.32 petang: Sidang media khas oleh pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) ditangguhkan, kata seorang kakitangan parti.

Kakitangan itu memberitahu pihak media bahawa sidang media itu akan diadakan selepas pengumuman khas oleh perdana menteri interim, Dr Mahathir Mohamad, yang dijadualkan pada jam 4.45 petang hari ini.


Dr M akan muncul di kaca TV jam 4.45 petang

4.30 petang: Perdana Menteri interim, Dr Mahathir Mohamad dijadual akan membuat kemunculan di televisyen pada jam 4.45 petang.

Siaran langsung ini akan dibawakan oleh RTM, Media Prima dan Astro.


MP DAP tinggalkan Istana Negara

4:25 petang - Selepas hampir tiga jam menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, anggota parlimen DAP meninggalkan Istana Negara. Mereka dilihat menaiki sebuah bas.

Anggota Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji pula menaiki sebuah kereta.


Anwar, Wan Azizah tiba di ibu pejabat PKR

3.43 petang: Presiden PKR Anwar Ibrahim dan isteri, Wan Azizah Wan Ismail tiba di ibu pejabat parti itu.

Mereka disambut kira-kira 30 penyokong yang mengucapkan tahniah kepada pasangan itu.

Anwar dan Wan Azizah bagaimanapun tidak membalas pertanyaan media ketika diminta memberikan komen.


Anwar dijangka buat pengumuman penting, tiada 'tawaran' dengan Dr M

3:25 petang: Ibu Pejabat PKR - Kakitangan PKR mengatakan bahawa Anwar Ibrahim akan membuat pengumuman penting pada sidang akhbar jam 4.30 petang ini.

Pembesar suara turut dipasang di kaki lima bangunan, dengan jangkaan akan ada ramai penyokong yang hadir untuk mendengar pengumuman berkenaan.

Ditemui ketika meninggalkan kediamannya di Bukit Segambut, Anwar ditanya sama ada terdapat 'tawaran' dengan Mahathir.

Beliau menjawab: "Tiada tawaran, kita akan bincang pada 4:30 petang".



Anwar akan adakan sidang media

3.10 petang: Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan pemimpin Pakatan Harapan lain dijangka mengadakan sidang media pada pukul 4.30 petang hari ini.

Ini selepas petugas media menerima jemputan 'Sidang media khas Pakatan Harapan' daripada sekretariat gabungan itu.

Sidang media itu dijangka diadakan di Ibu Pejabat PKR.


Azmin, 10 MP tinggalkan istana

3.00 petang: Difahamkan bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan 10 lagi bekas anggota parlimen PKR keluar dari istana melalui pintu 3.


Kumpulan Azmin mahu 'rekonsiliasi nasional' bawah Dr Mahathir

2.50 petang: Seramai 11 pemimpin PKR yang diketuai Anggota Parlimen Gombak, Azmin Ali berkata mereka menyokong 'rekonsiliasi nasional' di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad.

"Kami pendukung hasrat rekonsiliasi nasional di mana anggota Dewan Rakyat memberikan keutamaan kepada aspirasi rakyat dan agenda nasional.

"Rekonsiliasi ini akan mengendurkan perebutan kuasa di kalangan parti-parti politik dan memungkinkan penggemblengan tenaga untuk menjayakan matlamat bersama dan memupuk kebaikan yang lebih besar untuk negara.

"Rekonsiliasi nasional akan terlaksana di bawah pimpinan YAB Tun Dr Mahathir Mohamad bersama dukungan semua pihak yang mahukan Malaysia stabil dan terus maju menangani cabaran bangsa.

"Dalam keadaan negara sekarang menghadapi tekanan penguncupan ekonomi dunia ke atas ekonomi domestik dan cabaran genting daripada situasi semasa wabak penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19), kita mesti bersatu dan memberi sokongan penuh kepada pimpinan YAB perdana menteri dengan mengenepikan politik sempit serta menjurus kepada perpaduan nasional yang berpaksikan aspirasi rakyat," kata mereka dalam kenyataan bersama.

Kenyataan itu dibuat selepas Mahathir dilaporkan mencadangkan pembentukan sebuah kerajaan perpaduan semalam.


Bas DAP sudah sampai ke istana

1.45 tengah hari: Sebuah bas membawa anggota parlimen DAP sudah tiba ke Istana Negara. Lim Kit siang, Yeo Bee Yin, Hannah Yeoh dan Gobind Singh antara yang menaiki kenderaan itu.


Hasmah ke PMO, Syed Saddiq keluar

1.30 tengah hari: Pejabat Perdana Menteri (PMO) - Kenderaan yang membawa isteri perdana menteri interim Dr Siti Hasmah Mohd Ali memasuki pejabat Dr Mahathir Mohamad sekitar jam 1.00 petang.

Dr Siti Hasmah hanya melambai tangan kepada petugas media ketika diminta menurunkan tingkap kenderaannya.

Syed Saddiq pula dilihat keluar meninggalkan PMO melalui pintu A.

Sebelum itu, Syed Saddiq dilihat memandu keretanya menuju pintu utama PMO, bagaimanapun beliau bertindak berpatah balik untuk keluar dari pintu A.


Adun Machap kekal bersama PKR

1 tengah hari: Adun Machap Ginie Lim - daripada kem Azmin - berkata beliau akan terus bersama PKR untuk meneruskan mandat rakyat.

“Saya akan jalankan tugas sehingga habis penggal,” katanya kepada pemberita, seperti dirakam dalam video China Press.

 


Anwar tinggalkan istana

12.49 tengah hari - Anwar Ibrahim tinggalkan istana sambil disambut laungan “reformasi” dan “tolak pengkhianat” oleh pengiringnya.

 


Azmin masuk ikut Pintu 3

12.41 tengah hari: Media difahamkan bahawa Azmin Ali dan 10 anggota parlimen yang bersamanya sudah masuk ke istana negara melalui Pintu 3.


Semua MP Bersatu diarah sokong Dr M

12.40 tengah hari: Ketua Penerangan Bersatu Radzi Jidin memberitahu bahawa Majlis Pimpinan Tertinggi membuat ketetapan supaya semua 26 anggota parlimen parti itu menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Radzi berkata, mesyuarat dua hari lalu turut memutuskan untuk menolak peletakan jawatan Mahathir sebagai pengerusi.

"Semua MP Bersatu mengadap Yang di-Pertuan Agong pagi ini untuk menyatakan sokongan kepada Mahathir untuk jadi perdana menteri.

"Anggota Bersatu diminta bertenang dan yakin dengan pimpinan parti untuk menangani keadaan politik semasa.

"Kami yakin keadaan ini akan selesai dengan kadar segera," katanya.


Dr M mesyuarat dengan Kementerian Kewangan

12.40 tengah hari: Putrajaya - Sementara perhatian bertumpu di Istana Negara, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengadakan mesyuarat dengan pegawai Kementerian Kewangan berhubung pelan stimulus ekonomi, di Putrajaya.

Menurut Twitter Mahathir, pelan itu akan diumumkan tak lama lagi.

 


PKR Bandar Tun Razak setia pada parti

12.35 tengah hari: PKR Bandar Tun Razak menegaskan kesetiaannya pada parti, walaupun anggota parlimennya, Kamaruddin Jaafar menyertai Azmin Ali untuk keluar PKR pada Isnin lalu.

Kamarudin tiada sebarang jawatan dalam PKR Bandar Tun Razak.

Beliau merupakan anggota parlimen kedua kawasan itu untuk keluar parti setelah Khalid Ibrahim, yang dibuang PKR pada 2014.


MP Amanah ceria tiba di Istana Negara

12 tengah hari: Istana Negara - Anggota Parlimen Amanah tampak ceria ketika rombongan mereka tiba di Istana Negara.

Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat) berkata: "Mandat rakyat, Pakatan Harapan."

Khalid Samad (Shah Alam): "Kita bersama PH. Amanah solid. Kita berpegang kepada mandat dan janji kepada rakyat."

Hanipa Maidin (Sepang): InsyaAllah, PH."

Dr Mujahid Yusof (Parit Buntar): Kita letak harapan tinggi hari ini, ada harapan."

20 minit kemudian, lima lagi kereta memasuki perkarangan Istana Negara, antaranya yang dinaiki Darell Leiking (Warisan-Penampang) dan Dr Dzulkefly Ahmad (Amanah-Kuala Selangor).


Sumber: Adun Johor mengadap Sultan Ibrahim tengah hari ini

11.50 pagi: Sumber memaklumkan adun Johor telah dipanggil mengadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada tengah hari ini.

Difahamkan, Pengerusi Umno Johor Hasni Mohammad akan mengetuai rombongan BN. Tidak pasti pukul berapa mereka akan tiba di istana.

Sementara itu wakil dari PH dan Bersatu akan mengadap Sultan Ibrahim pada pukul dua petang.


Lim: Hanya agenda PH negara dapat kembalikan kehormatan

11.30 pagi: Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata agenda PH adalah satu-satunya jalan untuk Malaysia menebus kembali kehormatan dan membina dan memenuhi potensinya sebagai sebuah negara.

"PH bertekad untuk mengembalikan kebanggaan rakyat Malaysia yang telah dijual oleh Umno dan BN.

"Kita perlu kekal dengan ikrar ini untuk memenuhi agenda Harapan...untuk kembali kepada asas Perlembagaan Malaysia untuk menjamin kesatuan, keadilan, kebebasan dan integriti di Malaysia," katanya dalam kenyataan.


11.05 pagi: Istana Negara - Anggota Parlimen Pagoh yang juga presiden Bersatu Muhyiddin Yassin meninggalkan Istana Negara.


11.20 pagi: Istana Negara - Anggota Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir meninggalkan Istana Negara.

Anggota Parlimen Muhyiddin Yassin pula meninggalkan istana 20 minit sebelumnya.

Sementara itu, jumlah penyokong PKR yang berkumpul meningkat kepada 70 orang.

Selain melaungkan "reformasi", ada juga yang secara sinis menyebut "bye Gombak" dan "bye Ampang" apabila media merakam mereka.

Mereka merujuk kepada Anggota Parlimen Gombak Azmin Ali dan Anggota Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang dibuang parti pada Isnin lalu.


Anwar dan Azizah sambut ulang tahun ke-40

11 pagi: Di tengah-tengah ketidaktentuan dan kemelut politik, Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail menyambut ulang tahun ke-40 perkahwinan mereka.

Dalam ciapan yang ditujukan kepada Wan Azizah, Anwar menulis: "40 years of kindness. 40 years of courage. 40 years of loyalty. 40 years of strength."

(40 tahun kebaikan. 40 tahun keberanian. 40 tahun kesetian. 40 tahun kekuatan)

Dalam ciapan sebelumnya, Anwar memuat naik gambarnya dengan Azizah sedang memotong kek, sambil diperhatikan sejumlah pemimpin PKR.

Wan Azizah turut merakamkan ucapan di Twitter, dengan berkata:

"Biar ribut dan badai datang melanda. Biar hujan dan panas namun kita tetap bersama. Selamat ulang tahun perkahwinan bersama Anwar yang ke-40," katanya.



11 pagi: Melaka - Lebih 100 orang berkumpul untuk menunjukkan sokongan kepada Adly Zahari agar terus menjadi ketua menteri Melaka.

Hadirin kebanyakannya anggota parti politik dan wakil NGO, menurut laporan Sin Chew Daily.

Bercakap dengan pemberita kemudian, Adly menggesa para penyokongnya agar kekal tenang.

Beliau berkata akan bertemu dengan Yang di-Pertua Negeri Mohd Khalil Yaakob hari ini.

Exco Melaka Genie Lim, yang dilihat sebagai pemimpin PKR yang menyokong Azmin, antara yang menyertai perkumpulan itu.

Adly Zahari


Syed Saddiq tiba di Pejabat Perdana Menteri

11.05 pagi : Pejabat Perdana Menteri - Usai pertemuan di Istana Negara, Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Difahamkan beliau akan bertemu dengan Dr Mahathir Mohamad.

Didekati media, Syed Saddiq memberhentikan keretanya dan meminta rakyat Malaysia mendoakan yang terbaik buat negara.

“(Saya) baru balik dari istana. (Harap dapat) Cepatkan proses peralihan kuasa. Doakan yang terbaik,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan semasa.

Terdahulu, Mahathir yang kini menjadi perdana menteri interim masuk ke pejabatnya di bangunan Perdana Putra pada pukul 8.25 pagi, di hari keempat kemelut politik negara.

Menaiki Proton Perdana dengan nombor plat Malaysia 2020, beliau sempat melambaikan tangannya kepada jurugambar yang menanti di pintu masuk utama.

Mahathir dijangka akan menerima kunjungan Presiden Warisan Shafie Apdal pagi ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Sallallahuddin Hassan memberikan 50 bungkus nasi lemak kepada petugas media.

JPM turut memasang dua khemah sebagai tempat berteduh.


MP PKR tiba dengan bas dua tingkat

10.35 pagi: Istana Negara - Anggota Parlimen PKR tiba di istana dengan menaiki sebuah bas dua tingkat "hop-on, hop-off".

Kira-kira 30 penyokong PKR kemudian mendekati bas itu untuk menunjukkan sokongan mereka.

Ada juga anggota parlimen yang dilihat melambaikan tangan kepada penyokong dan anggota media, antaranya Nurul Izzah (Permatang Pauh), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), William Leong (Selayang) dan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau).

Rombongan itu turut diiringi 10 buah kereta.

Lima minit sebelumnya, Anggota Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat meninggalkan istana dengan kereta Perodua Myvi.


Percuma! Milo, Saji dan bank kuasa Xiaomi

10.30 pagi: Selepas dijamu Yang di-Pertuan Agong dan pihak persendirian lain dua hari sebelumnya, anggota media hari ini menikmati minuman percuma dari Milo dan Saji, serta bank kuasa percuma dari Xiaomi.


'Tugas PH untuk bangkit semula'

10.30 pagi: Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof menyuarakan harapan untuk PH kembali mentadbir negara.

"End game? (Kita menunggu) petikan jari kedua untuk mengembalikan harapan," katanya di Twitter, bersama-sama gambar watak komik terkenal, Thanos.

Dalam satu lagi ciapan, beliau menggesa PH untuk tidak menyalahkan musuh yang sememangnya mahu meruntuhkan PH, dan menjadi tugas PH untuk bangkit semula.


Patriot: Umno tak boleh dibenarkan perintah negara lagi

10.30 pagi: Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) berkata Pakatan Harapan patut dibenarkan untuk menubuhkan kerajaan baru.

"Nampaknya PH, kini terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah, adalah gabungan paling bersatu dan memiliki anggota parlimen paling ramai berbanding gabungan lain.

"Patriot meminta anggota parlimen Bersatu, Warisan dan Gabungan Parti Sarawak, mereka yang berprinsip, untuk menyertai PH dan membantu menubuhkan kerajaan," kata presidennya Mohamed Arshad Raji dalam kenyataan.

Patriot menegaskan pilihan raya perlu dielakkan seboleh mungkin dan menyifatkan gesaan oleh Umno dan PAS sebagai "pentingkan diri sendiri".

Katanya, pilihan raya pada masa ini hanya akan menjejaskan ekonomi.

"Umno yang mensabotaj ekonomi negara tidak boleh dibenarkan memerintah lagi," katanya.


10.15 pagi: Anggota Parlimen Alor Gajah Mohd Redzuan Yusof (Bersatu) tiba di Istana Negara.

Sementara itu, bilangan penyokong PKR yang berkumpul kira-kira 150 meter dari pagar dua istana kian bertambah, dan mereka melaungkan 'reformasi' setiap kali kereta melaluinya.


Maszlee Malik, Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara

9.50 pagi: Anggota parlimen Simpang Renggam dari Bersatu, Maszlee Malik tiba di Istana Negara pada pukul 9.43 pagi.

Beliau keluar dari sebuah kereta berwarna putih dan mengagihkan dua kotak minuman kepada media sebelum memasuki perkarangan istana.

"Pertama, sistem demokrasi parlimen masih lagi berfungsi di Malaysia, dan kedua, ia buktikan institusi diraja begitu penting untuk menjaga sistem ini.

"Ketiga, apa yang berlaku semalam, hari ini dan esok, akan jadi satu titik penting dalam lipatan sejarah. Ia akan jadi peristiwa bersejarah untuk generasi akan datang," katanya kepada media.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tiba kira-kira lima minit kemudian.


Zuraida nafi Azmin dalang Bersatu keluar PH

9.30 pagi: Zuraida Kamaruddin menafikan bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali adalah dalang keruntuhan kerajaan PH.

"No," katanya menerusi pesanan teks, merujuk laporan The Malaysian Insight yang memetik sumber mengatakan Azmin dan anggota parlimen Bersatu, Hamzah Zainuddin menggunakan kebimbangan Bersatu untuk membuatkan parti itu keluar PH.

“Mereka mengambil kesempatan atas kebimbangan sesetengah pemimpin majlis pimpinan tertinggi Bersatu dan menjanjikan mereka jawatan kerajaan sekiranya bersama membentuk kerajaan dengan Umno dan PAS,” kata seorang sumber Bersatu.

“Kata mereka, kerajaan Bersatu-Umno-PAS akan mengembalikan ketuanan Melayu, dan ini satu cara untuk menyingkirkan DAP daripada kerajaan," kata sumber itu seperti dipetik.

Sumber itu berkata lagi, cara itu juga akan menyekat Anwar daripada menjadi perdana menteri.

Zuraida bagaimanapun tidak menjelaskan peranan yang dimainkan Azmin.


Najib nafi Umno terbabit

9.45 pagi: Bekas presiden Umno Najib Razak mempertahankan partinya terhadap dakwaan terlibat dalam kemelut politik yang sedang berlaku.

Beliau juga menyuarakan pendirian partinya agar Parlimen dibubarkan dan pilihan raya diadakan.

Dalam hantaran di Facebook, Najib mempersoalkan sama ada Umno yang meminta Bersatu untuk keluar PH dan sejumlah anggota parlimen PKR, diketuai Azmin Ali, untuk keluar parti itu.

"Umno ke yang minta perdana menteri letak jawatan (sebagai perdana menteri) dan (pengerusi) Bersatu? Umno ke yang desak peralihan kuasa kepada bakal perdana menteri? Umno ke yang suruh PKR pecat pemimpin yang sokong perdana menteri ketujuh?

"Tak ada kan?" katanya.

Dalam hantaran semalam, Najib juga membalas kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid samad yang mengatakan pilihan raya baru akan membazirkan wang.

"Ingat lagi tiga pilihan raya ini - Permatang Pauh, Kajang, Port Dickson? Pilihan raya membazir, Lid?

"Apakah rakyat tidak berhak menilai prestasi PH dan menentukan hala tuju negara?" soalnya.

 


Hisham nafi akan tinggalkan Umno, BN

9.30 pagi: Bekas Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein menafikan khabar angin bahawa beliau akan meninggalkan Umno susulan kemelut politik yang berlaku.

Dalam satu kenyataan ringkas di Facebook, Hishammuddin meminta orang ramai supaya tidak mempercayai spekulasi itu.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya saya akan keluar parti, jangan sesekali percaya spekulasi yang disebar sesetengah pihak di luar sana.

"Pendirian saya konsisten sejak dahulu lagi. Dan hari ini saya ulang sekali lagi, kesetiaan saya tidak berbelah bahagi. Saya tetap bersama Umno dan BN," katanya.

Khabar angin itu mula tersebar di media sosial malam tadi, antara lain berkenaan Hishammuddin serta segelintir anggota parliman BN akan menyertai Dr Mahathir Mohamad.

Ia susulan pendirian parti itu dan juga PAS untuk menarik balik sokongan kepada Mahathir jika perdana menteri interim itu menyertakan DAP dalam kerajaan baru.


Ambiga sokong kerajaan perpaduan

8.30 pagi: Bekas pengerusi Bersih S Ambiga setuju dengan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dapat menyelesaikan konflik politik yang dihadapi negara.

"Saya menyokong kabinet atau kerajaan perpaduan apabila kestabilan diperlukan. Kita perlukannya.

"Ia memerlukan semua pihak bekerjasama demi kepentingan rakyat. Saya rasa kita perlu mendengarnya daripada Dr Mahathir. Apakah kandungannya? Mungkin ia bukan kerajaan perpaduan seperti yang kita pernah dengar sebelum ini.

"Jika ia tentang pembentukan kabinet yang tidak berdasarkan komposisi parti, maka ia idea baru yang perlu mendapat sokongan kita," ciapnya di Twitter.

Timbul spekulasi Mahathir menimbang untuk mewujudkan "kerajaan perpaduan", walaupun dengan terma yang tidak dapat dipersetujui BN dan PAS, yang menyebabkan mereka menarik balik sokongan kepada Mahathir semalam.


VK Liew nafi Warisan terlibat plot tubuh kerajaan pintu belakang

8.15 pagi: Pengerusi Tetap Warisan Liew Vui Keong menafikan partinya terbabit dalam usaha menubuhkan kerajaan pintu belakang.

Dalam satu hantaran Facebook, beliau berkata tiada anggota parlimen Warisan yang hadir ke majlis makan malam di Hotel Sheraton Petaling Jaya pada 23 Februari lalu.

"Pihak team semburit telah berbohong dengan cerita rekaan mereka untuk projek masuk belakang mereka," katanya tanpa berselindung, walaupun tidak merujuk mana-mana pihak secara khusus.

Presiden Warisan dan Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal dilihat berada di Hotel Ritz-Carlton Kuala Lumpur pada hari tersebut, di mana pemimpin Umno dan PAS serta Bersatu berkumpul di Hotel Sheraton.

"Untuk rekod juga, saya tidak akan bekerjasama dengan penipu, pencuri dan perompak negara. Saya tiada hasrat untuk dikaitkan dengan mereka. BIarlah tiada jawatan, biarlah orang lain yang memegang jawatan tersebut.

"Bagi saya, integriti penting dan kepentingan dan kebajikan rakyat adalah perkara paling utama," katanya.


Hari 4 - kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan

8 pagi: Kemelut politik yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan yang berusia 20 bulan, memasuki hari keempat hari ini.

Bagaimanapun ia tampak akan berakhir tak lama lagi.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah akan bertemu anggota parlimen PH dan Bersatu hari ini untuk melihat sama ada kerajaan dapat dituubuhkan.

Umno dan PAS mendesak pilihan raya dibuat selepas menarik balik sokongan terhadap perdana menteri interim Dr Mahathir Mohamad, tetapi ia dapat dielakkan jika Mahathir mendapat sokongan majoriti.

Pemimpin PH tidak memberitahu apakah yang akan disampaikan kepada Sultan Abdullah tetapi setakat ini tiada tanda mereka tidak akan menyokong Mahathir.

Bagaimanapun tidak jelas sama ada Sultan Abdullah akan membuat keputusan hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen