BERITA

Perikatan Nasional - Terkubur sebelum lahir

25 Feb 2020, 2:54 tengahari

Dikemaskini 3 bulan lepas

A
+
A
-

Senyuman pemimpin BN dan PAS pada Ahad lepas, di Sheraton Hotel di Petaling Jaya malam ini digantikan dengan riak muka yang serius di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, yang menjadi tempat mereka mengumumkan menarik semula sokongan terhadap Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Pendirian terbaru itu hadir selepas pada Ahad lalu, BN dan PAS dilihat semakin hampir mengambil alih Putrajaya melalui usaha penjajaran semula kuasa yang menyaksikan Bersatu dan 11 ahli parlimen dari PKR meninggalkan PH.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, pada sidang media petang ini, mengaku bahawa gabungan "Perikatan Nasional" direncana dibentuk untuk menggantikan kerajaan PH.

"Pada peringkat awal, kami bersetuju secara dasar untuk bergabung dengan blok pembangkang.

"Kami dapat lebih 130 kerusi dan dalam proses akhir untuk meterai satu pakatan yang sebelum ini dikatakan sebagai Pakatan Nasional - tapi sebenarnya dengan nama baru Perikatan Nasional," katanya.

Beliau berkata pemimpin parti mereka bahkan telah mengemukakan akuan berkanun (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong untuk gabungan baru itu.

"Akhirnya, apa yang dirancang tidak berlaku apabila perdana menteri meletakkan jawatan," katanya.

BN, PAS, GPS dan Warisan, yang disusun oleh Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali yang mengetuai 10 lagi ahli parlimen meninggalkan PKR, menganggap mereka akan membentuk gabungan baru, dengan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Pada petang Ahad lepas, selepas pemimpin parti bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong untuk menunjukkan bahawa mereka mempunyai sokongan untuk gabungan baru itu, ahli parlimen yang terlibat berkumpul di Sheraton Hotel untuk majlis makan malam sementara memberi Seri Paduka masa bagi membuat keputusan.

Di sebalik pintu tertutup, Azmin membuat ucapan yang penuh bersemangat kepada penyokongnya, dengan mendakwa bahawa tindakannya itu adalah demi Mahathir yang menurutnya sedang ditekan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Ketika yang lain melobi, Mahathir terus diam

Tetapi pada keesokan harinya, Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan secara automatik dibubarkan.

Pada peringkat awal, tindakan Mahathir tidak dilihat luar biasa, kerana beliau boleh meletakkan jawatan sebagai perdana menteri kerajaan PH dan seterusnya dilantik semula sebagai perdana menteri kerajaan baru Perikatan Nasional.

Tetapi sejam kemudian, Mahathir juga mengumumkan meletakkan jawatan sebagai pengerusi Bersatu, tidak lama selepas Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mengumumkan partinya keluar daripada PH.

Peletakan jawatan Mahathir yang hadir tidak lama selepas pengumuman Muhyiddin memberi gambaran ada sesuatu yang tidak kena dengan hubungan antara kedua-dua pemimpin itu, dengan Muhyiddin dilihat bekerjasama dengan Azmin untuk membentuk Perikatan Nasional.

Pada masa sama, pemimpin PH termasuk Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang telah bertemu dengan Mahathir pagi itu berkata mereka dimaklumkan tentang hasrat Mahathir meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju untuk menubuhkan pakatan yang melibatkan Umno.

Sehingga saat ini, Mahathir tidak membuat kenyataan terbuka dan semua pihak hanya boleh meneka berdasarkan dakwaan-dakwaan pemimpin yang bertemunya di rumahnya.

Dalam tulisan blognya hari ini, tokoh wartawan A Kadir Jasin, yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, mendakwa Mahathir meletakkan jawatan kerana menganggap pemimpin atasan Bersatu "lebih mendengar cakap setiausaha politiknya berbanding dirinya sendiri".

Kadir mendakwa Mahathir merujuk mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu Ahad lalu yang menyaksikan "perdebatan hangat" berhubung masa depan Bersatu dalam PH.

Sementara itu, parti-parti politik masing-masing dilihat cuba menegaskan sokongan terhadap Mahathir - yang membawa kepada situasi yang janggal apabila kesemua 221 Ahli Parlimen Dewan Rakyat menyokongnya sebagai perdana menteri, tetapi kedua-dua pihak mempunyai idea yang berbeza mengenai pakatan yang akan diterajui oleh kerajaan Mahathir.

Drama politik diteruskan hari ini, dengan Mahathir, meneruskan tugas sebagai perdana menteri sementara selepas dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, semalam.

Sementara Seri Paduka, menemu bual ahli parlimen satu per satu untuk memastikan sokongan mereka.

Walaupun Yang di-Pertuan Agong berkata baginda memerlukan dua hari untuk menemu bual kesemua ahli parlimen, wujud tanggapan yang meluas mengandaikan Mahathir akan dilantik semula perdana menteri.

Pada masa sama, hari ini, Mahathir bertemu dengan ketua parti politik utama untuk melihat langkah seterusnya bagi menubuhkan kerajaan semula - ia dilihat sebagai persaingan antara ahli parlimen yang cuba menyelamatkan PH dan seterusnya yang cuba menubuhkan Perikatan Nasional.

Umno, PAS tarik balik sokongan pada Dr M

Pada sidang media yang turut disertai Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Annuar mengumumkan bahawa PAS dan Umno menarik balik sokongan mereka.

"Ia bertentangan dengan perjanjian bahawa pembentukan sebuah kerajaan mesti mengambil kira parti secara keseluruhan, bukan individu.

"Cadangan (yang dikatakan) untuk membentuk kerajaan perpaduan melibatkan perdana menteri menjemput individu untuk membentuk kabinet," katanya.

Annuar juga berkata asas rundingan dengan Mahathir ialah Umno dan PAS akan memberikan sokongan mereka untuk membentuk gabungan alternatif tanpa DAP.

"Maka ia bercanggah dengan pendirian parti kami maka dengan itu (ahli parlimen) yang menghadap tadi untuk tak timbul isu, terpaksa kita tarik balik SD yang dipersembahkan kepada Agong untuk beri sokongan kepada Tun (Mahathir) dan (sebaliknya) meminta agar dibubarkan parlimen," katanya.

Tanpa sokongan BN dan PAS, Perikatan Nasional dilihat sudah terkubur sebelum sempat diwujudkan. Mesej dan gesaan pemimpin BN dan PAS juga bertukar.

Selepas menarik balik sokongan terhadap Mahathir, dari usaha penjajaran semula kuasa untuk membentuk kerajaan baru tanpa melalui pilihan raya, PAS dan Umno kini menggesa parlimen dibubarkan untuk mengadakan pilihan raya umum yang baru.

"Kita berada dalam situasi di mana mandat itu perlu dikembalikan kepada rakyat dan kami gesa parlimen dibubarkan - Biarkan rakyat membuat keputusan," kata Annuar.

GPS dan Warisan, yang sebelum ini bersama BN dan PAS, setakat ini tidak mengubah sokongan mereka terhadap Mahathir.

Dengan PH - yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah - juga terus berada di belakangnya, Mahathir perlu mendapaikan kedua-dua kumpulan yang bersamanya untuk membentuk gabungan baru.

Mahathir juga dilihat perlu berdepan dengan ahli parlimen dari kumpulan Azmin yang sudah meninggalkan PKR, yang semalam hadir di kediamannya untuk melobi.

Dan semestinya, Mahathir perlu berdepan dengan Bersatu, atau sekurang-kurangya pihak dalam bersatu yang tidak berkongsi visi sama dengannya.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin hari ini mengunjungi Mahathir untuk merayu agar beliau menarik balik peletakan jawatan sebagai pengerusi.

Bagaimanapun, Kadir, yang pernah menjadi penasihat media Mahathir, melihat ia bukan keutamaan ahli parlimen Langkawi itu buat masa ini.

Sekiranya Mahathir berjaya, pakatan baru yang akan ditubuhkan kemungkinan tidak jauh beza dengan Pakatan Harapan sebelum ini, hanya dengan sedikit perubahan.

Sementara Annuar, yang mengumumkan PH sudah mati dua hari lalu, akan melihat Perikatan Nasional terkubur tanpa sempat dilahirkan.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.