malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Umno dan PAS tarik balik sokongan pada Dr M
Diterbitkan:  Feb 25, 2020 8:51 PM
Dikemaskini: 2:26 PM
ADS

Umno dan PAS menarik semula sokongan mereka kepada Dr Mahathir Mohamad untuk terus menjadi perdana menteri.

Pendirian terbaru Umno dan PAS itu susulan desas-desus bahawa Mahathir akan menubuhkan "kerajaan perpaduan" dengan syarat yang mereka tidak persetujui.

"Ia bertentangan dengan perjanjian bahawa pembentukan sebuah kerajaan mesti mengambil kira parti secara keseluruhan, bukan individu.

"Cadangan (yang dikatakan) untuk membentuk kerajaan perpaduan melibatkan perdana menteri menjemput individu untuk membentuk kabinet," kata Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa pada sidang akhbar hari ini dengan rakan sejawatannya, Takiyuddin Hassan dari PAS.

Annuar berkata asas rundingan dengan Mahathir ialah Umno dan PAS akan memberikan sokongan mereka untuk membentuk gabungan alternatif tanpa DAP.

Justeru, kata Annuar, akuan berkanun (SD) yang dibuat oleh Umno dan Ahli Parlimen Umno dan PAS untuk menyokong Mahathir sebagai perdana menteri tidak sah, kerana ia bersyarat.

"Maka ia bercanggah dengan pendirian parti kami maka dengan itu (ahli parlimen) yang menghadap tadi untuk tak timbul isu, terpaksa kita tarik balik SD yang dipersembahkan kepada Agong untuk beri sokongan kepada Tun (Mahathir) dan (sebaliknya) meminta agar dibubarkan parlimen," katanya.

Sementara itu, Takiyuddin berkata "pilihan terbaik" adalah mendapatkan mandat baru melalui pilihan raya mengejut.

Sejak Ahad lalu, situasi politik negara menyaksikan perkembangan-perkembangan drastik susulan usaha penjajaran semula kuasa, sehingga membawa kepada peletakan jawatan Mahathir sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu.

Selepas Bersatu yang memegang 26 kerusi parlimen dan kumpulan Azmin yang mewakil 11 kerusi meninggalkan PH, gabungan itu tidak lagi mempunyai majoriti di parlimen.

Bagaimanapun, masih tidak jelas parti atau pakatan politik yang mempunyai majoriti parlimen.

Selepas melantik Mahathir sebagai perdana menteri interim semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini mula menemu bual semua ahli parlimen bagi memutuskan berhubung jawatan perdana menteri.

Lihat Komen