malaysiakini logo
story-image
ADS

Masih belum ada petanda jelas untuk mana-mana gabungan politik memiliki jumlah ahli parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.

Justeru, terdapat kemungkinan untuk kerajaan minoriti dibentuk.

Hal itu berdasarkan kepada kedudukan Dr Mahathir Mohamad - sebagai perdana menteri sementara - yang mendapat sokongan cukup daripada sebahagian besar ahli parlimen.

Dalam sistem berparlimen, kerajaan minoriti boleh dibentuk jika tiada parti politik atau gabungan mempunyai majoriti jelas di parlimen, tetapi pada masa sama mereka sependapat menyokong anggota yang sama untuk menjadi perdana menteri.

Ketika ini, tidak jelas ada mana-mana gabungan politik mempunyai sekurang-kurangnya 112 kerusi untuk membentuk kerajaan baru selepas kerajaan PH-Warisan tumbang semalam.

Tetapi pada masa yang sama, sebahagian besar parti politik utama negara ini - termasuk Umno, PAS, Warisan, DAP dan Amanah - memberi sokongan kepada Mahathir untuk menjalankan tugas sebagai perdana menteri.

Hal itu berlaku selepas 11 wakil rakyat yang meninggalkan PKR - yang diketuai Parlimen Gombak, Azmin Ali - secara konsisten menyokong Mahathir.

Dilaporkan juga bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini berdiri di belakang ahli parlimen Langkawi itu.

Secara keseluruhan, mereka terdiri daripada 148 daripada 222 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Terserah kepada Mahathir

Awal petang tadi kita diberitahu Yang di-Pertuan Agong secara peribadi akan menemu bual semua ahli parlimen mulai hari ini untuk menentukan sokongan majoriti ahli parlimen kepada perdana menteri akan datang.

Sekiranya kebanyakan mereka yang disebutkan di atas memberikan sokongan kepada Mahathir, ia akan membolehkan beliau membentuk kabinet atau kerajaannya, jika beliau bersetuju meneruskan tugas sebagai perdana menteri.

Seperti yang termaktub dalam Perkara 43 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan, menjadi hak perdana menteri untuk memberi nasihat kepada Agong untuk melantik menteri lain ke kabinetnya.

Dalam erti kata lain, jika Mahathir dilantik semula menjadi perdana menteri, terpulang kepada beliau untuk memutuskan sama ada memilih ahli parlimen dari PH (membabitkan wakil rakyat PKR, DAP dan Amanah), atau Muafakat Nasional, atau mana-mana ahli parlimen lain ke dalam kerajaannya.

Tidak kira pihak mana yang dipilihnya, ia akan menjadi kerajaan minoriti yang pertama di Malaysia dengan parti pemerintah tidak mempunyai kerusi majoriti di Dewan Rakyat.

Begitu juga terdapat kemungkinan Mahathir akan membentuk kerajaan perpaduan tanpa pembangkang, seperti yang dicadangkan oleh ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan.

Operasi kerajaan minoriti banyak berlaku dalam sistem demokrasi Barat.

Sebagai contoh, sebahagian besar kerajaan di Denmark sejak 1982 berada dalam keadaan minoriti, tetapi negara itu menjadi negara yang stabil sepanjang masa dan mempunyai kualiti hidup antara yang terbaik di dunia.

Bagaimanapun, sebagai sebuah kerajaan minoriti - dalam konteks Malaysia - ia akan berdepan dengan kekangan besar untuk meluluskan sebarang akta di parlimen.

Ia juga tidak stabil kerana sesuatu belanjawan persekutuan mungkin dapat ditolak dengan mudah, menyebabkan usia kerajaan itu berisiko hanya seketika.

Lihat Komen