malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bursa Malaysia melantun semula, menokok 7.54 mata
Diterbitkan:  Feb 25, 2020 11:46 AM
Dikemaskini: 3:46 AM
ADS

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) memaparkan daya tahan kukuh untuk kembali pulih selepas mencecah paras rendah pada dagangan awal hari ini, dipacu oleh sokongan pelabur institusi serta sentimen optimis membabitkan penyelesaian kemelut politik tanah air.

Saham-saham utama indeks seperti Maybank dan Sime Darby Plantation yang berkaitan dengan Permodalan Nasional Bhd, antara syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia manakala Tenaga Nasional, Sime Darby Plantation, CIMB, IHH serta Axiata pula berkaitan dengan dana strategik kekayaan negara, Khazanah Nasional.

Semua kaunter yang mencatat peningkatan selepas sejam dagangan dijalankan, terbukti memacu Indeks FBM KLCI itu menokok 7.54 mata kepada 1,497.60.

Kesemua kaunter berkenaan mewakili sejumlah 53.48 mata daripada indeks komposit tersebut.

Sewaktu dibuka pagi ini, indeks utama itu susut 8.60 mata kepada 1,481.46 selepas terjejas semalam apabila merosot 2.68 peratus atau 41.14 mata kepada paras 1490.06.

Maybank untung sembilan sen kepada RM8.29, Tenaga Nasional naik 10 sen kepada RM12.24, Public Bank menambah 18 sen kepada RM17.58, manakala Petronas Chemicals dan Sime Darby Plantation masing-masing naik satu sen kepada RM6.37 dan RM4.91, IHH menokok enam sen kepada RM5.66, CIMB meningkat dua sen kepada RM4.88 dan Axiata melonjak tujuh sen kepada RM4.21.

Seorang penganalisis menyifatkan perkembangan itu berkait dengan tindakan pelabur institusi untuk menstabilkan pasaran dan pada masa sama meningkatkan keyakinan pelabur terhadap senario politik tempatan yang berdepan kemelut selepas Kabinet Pakatan Harapan secara automatiknya terbubar.

"Memandangkan negara kini ditadbir oleh perdana menteri interim selain faktor negara mempunyai asas-asas ekonomi kukuh, indeks itu boleh melantun lebih tinggi jika pakej rangsangan yang dijangka diumumkan pada Khamis tetap diteruskan," katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri interim sementara menunggu pelantikan perdana menteri dan pembentukan Kabinet baharu.

- Bernama

Lihat Komen