BERITA

Ketua menteri: K'jaan Melaka berfungsi seperti biasa

25 Feb 2020, 2:30 am

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-
  • KEMAS KINI: Dalam perkembangan terbaru, Ketua Menteri Melaka menegaskan bahawa kerajaan negeri masih berfungsi seperti biasa.

Pentadbiran dan jentera kerajaan negeri Melaka masih berfungsi seperti biasa di sebalik perkembangan yang sedang berlaku di peringkat pusat, kata Ketua menterinya, Adly Zahari.

Beliau turut mengesahkan masih menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai ketua menteri seperti biasa.

"Adalah dimaklumkan bahawa pentadbiran dan jentera Kerajaan Negeri Melaka masih berfungsi seperti biasa di sebalik perkembangan yang sedang berlaku di peringkat kerajaan persekutuan mutakhir ini.

"Tugas dan tanggungjawab sebagai ketua menteri seperti yang telah diamanahkan masih tetap dijalankan seperti biasa.

"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Japerun juga masih beroperasi seperti biasa," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan PH Melaka sudah hilang majoriti sebagai kerajaan negeri dan perkara itu disahkan oleb Exco Melaka Tey Kok Kiew bahawa kerajaan negeri tidak lagi mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

"(Bersatu) telah keluar daripada PH dan kami tidak mempunyai jumlah mencukupi," kata pengerusi DAP Melaka itu.

Sehingga kini, beliau berkata Adly belum secara rasmi digugurkan atau meletakkan jawatan tetapi berkata kerajaan negeri yang diterajui PH hampir tumbang.

PH pada asalnya memiliki 15 kerusi daripada 28 kerusi DUN.

Tay berkata pihak lawan menguasai 16 kerusi pada masa ini berbanding PH yang hanya mempunyai 12 kerusi DUN.

Sementara itu Adly menjelaskan, segala pertemuan dan mesyuarat rasmi juga akan berlangsung seperti biasa.

"Saya juga suka untuk menyeru persefahaman di kalangan seluruh rakyat dalam membantu usaha-usaha yang sedang giat dijalankan agar kemelut politik yang sedang melanda pentadbiran di peringkat nasional ketika ini dapat diatasi dengan baik dan lancar sekali gus membolehkan kerajaan kembali menumpukan usaha-usaha pembangunan demi kepentingan rakyat.

"Rakyat turut dinasihatkan mengambil sumber rasmi berkaitan sebarang pendirian kerajaan negeri dari informasi ketua menteri dan berhati-hati dengan sebarang kenyataan atau maklumat palsu.

"Semoga Allah SWT memberikan petunjuk dan hidayah yang membolehkan kita mendapat penyelesaian terbaik untuk negeri dan negara," katanya

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen