malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Abim gesa Agong tangguh kerajaan 'pintu belakang'
Diterbitkan:  Feb 24, 2020 11:49 AM
Dikemaskini: 3:53 AM
ADS

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa supaya lebih baik Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah menangguhkan sebarang usaha 'pintu belakang' sehingga 9 Mac 2020, iaitu apabila sidang parlimen bermula.

"Abim melihat ia sebagai pengkhianatan kepada aspirasi rakyat yang mahukan perubahan, apabila pemimpin kleptokrat yang ditumbangkan oleh rakyat dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lalu, kini direncanakan kembali untuk meneraju kerajaan tanpa mandat rakyat yang sah.

"Abim menggesa adalah lebih baik ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menangguhkan sebarang usaha 'pintu belakang' sehingga 09 Mac 2020, iaitu apabila sidang parlimen bermula.

"Dalam perkembangan sama, Abim berpandangan supaya yang di-Pertuan Agong menyerahkan kepada parlimen untuk menentukan sekiranya berlaku sebarang perubahan kepemimpinan negara," kata Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz.

Semalam, spekulasi kemungkinan berlaku pertukaran kerajaan semakin bertiup kencang apabila satu pertemuan dalam kalangan ahli parlimen daripada Umno, PAS, Bersatu, dan PKR dibuat di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Ia memberi gambaran betapa satu pakatan politik baru sedang diatur untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan persekutuan daripada PH.

Sementara itu Muhammad Faisal berkata, penentuan menerusi sidang parlimen penting untuk memastikan penubuhan sebarang kerajaan baharu, sekiranya bakal berlaku, dilihat telus dan demokratik apabila ia diputuskan dalam platform rasmi.

Malah katanya, ia juga penting bagi menjarakkan Istana dari pergelutan politik ekoran dari permainan pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Abim berpendirian sebagai mewakili masyarakat terbanyak di Malaysia, bahawa rakyat tidak memerlukan langkah politicking pintu belakang ini. Tiada sebarang alasan untuk perkara ini bermula. Lebih malang lagi, sekiranya ia disandarkan sentimen bangsa dan agama yang dimainkan, pastinya akan memburukkan keadaan.

"Justeru, kami juga menyeru rakyat supaya tidak termakan umpan makhluk politik berkepentingan yang akan menjerumuskan negara ke gaung kehancuran," katanya.

Tambah beliau, usia kerajaan baru belum lagi mencecah dua tahun dan inisiatif perubahan ke arah kebaikan serta penambahbaikan terhadap tadbir urus, ketelusan, integriti, serta penyeimbangan dan penurunan kuasa eksekutif masih belum berada pada tahap memuaskan.

Bagaimanapun, katanya, ia telah disabotaj oleh pihak berkepentingan yang menurutnya menolak perubahan kepada sistem yang lebih telus dan baik.

"Apa yang berlaku pasti akan menjadi sejarah hitam kepada sejarah politik negara, apabila hasrat rakyat yang mahukan perubahan telah disia-siakan sendiri oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

"Lebih menyedihkan, rakyat mengharapkan tidak timbul sebarang langkah politicking selepas berakhirnya mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada Jumaat lalu.

“Rakyat mahukan kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha pembangunan negara dan reformasi institusi di samping memfokuskan kepada pertumbuhan ekonomi secara holistik.

"Namun, tanpa sebarang sebab yang kukuh, langkah politicking seperti yang dipamerkan oleh para politikus Malaysia semalam adalah suatu yang jelas tidak bermoral dan melanggar konsensus nasional," jelas Muhammad Faisal.

Selain itu tegasnya, jika perancangan pintu belakang itu berlaku, pastinya akan berlaku konflik berterusan yang menyebabkan kondisi sosio politik negara terus terumbang-ambing dan tidak stabil.

"Malah, negara juga semakin bergoncang jika rejim kleptokrat diangkat semula, seterusnya menjauhkan lagi para pelabur daripada kerajaan yang tidak dipercayai," katanya.

Lihat Komen