malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Abang Johari dan Shafie Apdal dilihat di hotel sama
ADS

KEMASKINI 6.09PM | Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg dan Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal dilihat berada di hotel sama tengah hari ini, menambah lagi spekulasi berkenaan pertemuan poltik yang berlangsung di Kuala Lumpur, dan sekitarnya.

Abang Johari mempengerusikan mesyuarat bersama anggota parlimen dan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) selama dua jam dan meninggalkan Hotel Ritz Carlton pada kira-kira pukul empat petang.

Beliau kemudian kembali pada kira-kira pukul 5.30 petang. Shafie tiba tidak lama kemudian.

Ketika Abang Johari sudah meninggalkan hotel itu, sejumlah anggota parlimen dan pemimpin parti dilihat masih berada di sana.

Mereka dipercayai sebagai kumpulan kedua anggota parlimen yang berkumpul hari ini, selepas perkumpulan para anggota parlimen yang menyokong Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

Mesyuarat-mesyuarat ini tampak diadakan serentak dengan mesyuarat pemimpin Bersatu di Petaling Jaya.


Baca: Desas-desus pembentukan k'jaan baru tercetus


Mesyuarat yang diadakan pemimpin GPS dan penyokong Azmin, ditambah pula dengan pemimpin Bersatu yang mengunci mulut berkenaan mesyuarat mereka, membawa kepada spekulasi kemungkinan pertukaran kerajaan.

Secara rasmi, Abang Johari sebelum ini berkata GPS akan menyokong Mahathir sebagai perdana menteri jika kedudukannya dicabar.

Beberapa minggu kebelakangan, timbul dakwaan ada kumpulan yang mengadakan usaha mengumpul sokongan 138 anggota parlimen daripada pelbagai parti untuk menyokong Mahathir sebagai perdana menteri.

Turut dilaporkan adalah langkah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang cuba mendapatkan sokongan pemimpin parti itu untuk menyokong Mahathir.

PAS yang memiliki 18 anggota parlimen sebelum ini pula menyuarakan hasrat untuk membentangkan usul percaya kepadanya.

Bagaimanapun hasrat itu dibatalkan selepas mesyuarat Majlis Presiden PH menyerahkan kepada Mahathir untuk menetapkan tempoh untuknya memegang jawatan itu.

Lihat Komen