malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS batal undi percaya Dr M
Diterbitkan:  Feb 22, 2020 8:14 PM
Dikemaskini: 12:16 PM
ADS

PAS akan membatalkan hasrat untuk membawa undi percaya di parlimen terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, parti itu berpuas hati dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk menyerahkan peralihan kuasa sepenuhnya kepada Dr Mahathir Mohamad.

Takiyuddin turut menambah bahawa usul tersebut tidak lagi relevan kerana keputusan tersebut telah berjaya menghalang percubaan untuk melakukan peralihan kuasa dengan cara yang tidak demokratik.

"Ia tidak lagi relevan untuk membawa usul ini lagi kerana perdana menteri kini boleh memberikan tumpuan untuk melaksanakan segala dasar dan memulihkan semula ekonomi tanpa gangguan politik," katanya, petik laporan The Star hari ini.

Takiyudin turut menambah usul tersebut bukanlah bermakna bahawa PAS ingin mengambil alih kerajaan, sebaliknya ia menginginkan kestabilan politik.

"Apa yang kami mahukan ialah kestabilan dalam politik," katanya.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sepatutnya menetapkan tarikh peralihan kuasa tampuk pemerintahan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Semalam, Dr Mahathir berkata majlis tersebut telah membuat keputusan untuk menyerahkan peralihan kuasa sepenuhnya kepada beliau selepas Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) pada November.

Sumber memberitahu Malaysiakini, Bersatu sedia mempertimbang untuk keluar daripada PH sekiranya desakan untuk Dr Mahathir melepaskan jawatan diteruskan.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Azmin Ali juga turut menyatakan sokongan kepada Mahathir untuk terus memegang tampuk pemerintahan untuk satu penggal dengan sokongan daripada Bersatu. 

Lihat Komen