malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
NGO demo, desak k'jaan tunaikan 10 tuntutan dalam 100 hari
ADS

Kira-kira 300 berkumpul di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur hari ini mendesak kerajaan PH menunaikan 10 tuntutan dalam masa 100 hari dan sekiranya gagal mereka menggesa agar parlimen dibubarkan untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU).

Gabungan Kuasa Rakyat dan Perhimpunan 22022020 bertema '10 tuntutan 100 hari, atau bubar parlimen' anjuran Gabungan Kuasa Rakyat itu berkata, himpunan berkenaan tidak melibatkan pemimpin politk atau parti politik.

"Kami berkumpul hari ini tidak melibatkan pemimpin atau parti politik.

"Ini adalah suara rakyat mendesak kerajaan PH yang gagal mentadbir negara dan perlu membubarkan parlimen dengan segera," kata Timbalan Pengerusi NGO Sahabat Erat Amanah Rakyat Malaysia (Sedar Malaysia) Subash Chandra Bose kepada Malaysiakini.

Subash Chandra Bose

Menurutnya, 10 tuntutan yang bakal akan dibawa kepada kerajaan adalah dari yang dipilih warga media sosial.

"Kami mengadakan undian di kalangan netizen selepas memberi pilihan beberapa puluh tuntutan.

"Daripadanya, 10 tuntutan pilihan utama oleh netizen akan diserahkan kepada kerajaan untuk menunaikan dalam masa 100 hari. Sekiranya gagal kami akan terus mendesak kerajaan PH untuk bubarkan parlimen," jelasnya.

Tambahnya, kebanyakan hadirin hari ini adalah warga media sosial yang menyokong 10 tuntutan itu.

Dalam sidang media selepas itu, jurucakap himpunan Nazrin Norani pula mendakwa rakyat sudah jemu melihat pemimpin yang sama menerajui pentadbiran negara.

"Sudah tentu kita hendak lihat pemimpin baru...Tetapi kita tengok kerajaan sekarang ini, tidak nampak siapa (pemimpin) yang seterusnya. Muka yang sama saja.

"Dari saya sekolah menengah, sekarang ini anak masuk sekolah menengah, masih muka mereka berdua (Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim). Dulu saya tingkatan empat tengok Mahathir dan Anwar gaduh, dan anak saya tingkatan empat masih muka dua orang ini juga," katanya.

Nazrin yang juga presiden NGO Sedar Malaysia berkata beliau tidak kisah tentang isu peralihan kuasa antara Mahathir dan Anwar.

"Kita di sini adalah kuasa rakyat, kita bukan ahli politik. Tugas politik kita serahkan kepada orang politik.

"Kita tidak kisah siapa jadi kerajaan. Di saat rakyat susah tertekan dan dizalimi, kita akan sampaikan suara mereka," katanya lagi.

Antara 10 tuntutan disenaraikan hari ini adalah

1. Bertanggungjawab terhadap kegagalan memimpin dan mentadbir negara

  • Perdana Menteri dan Kabinet Malaysia wajib meletakkan jawatan.
  • Barisan kepimpinan yang baharu harus bebas daripada sebarang skandal, baik dari segi kewangan mahupun moral seperti seks, penyalahgunaan dadah dan sebagainya.

2. Bertanggungjawab ke atas Kedaulatan Undang-undang dan maruah institusi yang tercemar

  • Ketua Pesuruhjaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), Pengerusi SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia) dan Peguam Negara yang cenderung mengundang persepsi negatif pada masa ini wajib meletakkan jawatan.
  • Institusi-institusi seperti SPRM, SPR serta Jabatan Peguam Negara wajib bebas daripada pengaruh politik dan bukannya dijadikan senjata politik mana-mana pihak.
  • Cadangan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Pengerusi SPR dan Peguam Negara wajib melalui sesi pemilihan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) yang dianggotai oleh gabungan ahli-ahli Parlimen Pembangkang dan kerajaan.
  • Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak dalam menolak atau menerima cadangan pelantikan tersebut. Perdana Menteri tidak dibenarkan untuk campur tangan dalam pemilihan ketiga-tiga jawatan tersebut.

3. Menangani krisis ekonomi negara dan kewangan negara yang semakin merudum disebabkan keculasan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan

4. Menyelesaikan isu berkenaan Raja-Raja Melayu serta polemik antara agama dan kaum yang kian meruncing di bawah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.

5. Menyelesaikan kos sara hidup yang melambung di bawah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.

6. Menyelesaikan isu Kebajikan Rakyat yang terabai di bawah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.

7. Memulakan Pelan Tindakan Realistik untuk orang muda/ belia dengan kadar segera.

8. Mengalihkan Peruntukan Kewangan Setara untuk semua ahli parlimen dan Adun samada ahli terdiri daripada pihak pembangkang, kerajaan mahupun bebas.

9. Menunaikan manifesto PRU14 dan menggubal undang-undang khas untuk mewajibkan manifesto ditunaikan

10. Memulihkan hubungan diplomatik antarabangsa yang terjejas teruk di bawah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.

Lihat Komen