BERITA

Anwar: Mesyuarat demokratik tegang perkara biasa

Haspaizi Zain

22 Feb 2020, 5:56 am

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata ketegangan dalam perbincangan demokratik adalah perkara biasa.

Anwar merujuk kepada msyuarat Majlis Presiden PH semalam yang dikatakan berlangsung tegang.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa pada mesyuarat itu pemimpin Amanah dan DAP menggesa Dr Mahathir Mohamad menetapkan tarikh untuk menyerahkan jawatan perdana menteri.

Susulan itu, pemimpin Bersaty memberi amaran bahawa parti mereka akan keluar PH sekiranya Dr Mahathir Mohamad terus ditekan.

Ditanya mengenai perkara itu, Anwar tidak menafikan kejadian berkenaan tetapi mengatakan bahawa ketegangan adalah perkara biasa kerana semua orang bebas memberi pendapat mereka semasa mesyuarat.

"Mesyaurat ini, kalau demokratik, dia teganglah sikit, biasalah. Ucapan saya tadi pun tegang sikit tapi saya tak fikir ia suatu isu.

"Yang pentingnya tiada pertikai transisi (peralihan kuasa), tiada orang pertikai Dr Mahathir sebagai perdana menteri ketujuh dan Anwar sebagai perdana menteri kelapan.

"Cuma waktu itu kena fikir keadaan sesuai dan kita serahkan kepada kebijaksaan Dr Mahathir," katanya ketika ditemui pemberita di Bangi hari ini.

Ditanya mengenai tanggapan bahawa Dr Mahathir tidak boleh dipaksa untuk menetapkan tarikh kerana Anwar tidak mempunyai sokongan ahli parlimen yang mencukupi, Anwar menyifatkan ia sebagai "propaganda".

"Itu propaganda biasa, politik ini (memang) begitu," kata Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Selepas mesyuarat dua dan setengah jam malam tadi, majlis presiden PH akhirnya bersetuju membenarkan Dr Mahathir menetapkan tarikh sendiri untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Dr Mahathir sebelum ini berkata beliau memerlukan dua hingga tiga tahun sebagai perdana menteri.

Ketika gesaan agar beliau memberi tarikh yang lebih jelas, Dr Mahathir berkata beliau merancang untuk menyerahkan kuasa selepas sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang akan diadakan Nov ini.

Dr Mahathir bagaimanapun tidak memberi gambaran tempoh selepas Apec yang dimaksudkannya.

Dalam pilihan raya umum lepas, PH bersetuju untuk melantik Dr Mahathir sebagai pemimpinnya dengan syarat dia akhirnya menyerahkan kuasa kepada Anwar, yang pada masa itu berada dalam penjara.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen