malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemimpin Bersatu, Umno bidas AG tamatkan prosiding kes LTTE
Diterbitkan:  Feb 22, 2020 12:46 PM
Dikemaskini: 4:46 AM
ADS

Pemimpin Bersatu dan Umno mengkritik keputusan Peguam Negara Tommy Thomas untuk menghentikan prosiding terhadap 12 individu yang didakwa terlibat dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Timbalan Pengerusi Bersatu Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen mendakwa Thomas menyalahgunakan kuasanya.

"Peguam negara sudah mencampuri urusan Eksekutif, menteri dalam negeri dan boleh dianggap sebagai menyalahgunakan kuasanya," katanya di Facebook.

Dalam kenyataan sepanjang 11 halaman, Thomas berkata tema umum kesemua 12 individu tersebut adalah mereka hanya memiliki gambar pemimpin LTTE, seperti Velupillai Prabhakaran yang terbunuh pada 2009, sama ada di telefon atau Facebook.

Thomas juga berkata, pengisytiharan Menteri Dalam Negeri bahawa sesebuah kumpulan itu adalah pengganas tidak dimaksudkan untuk kekal dan boleh disemak semula setiap enam bulan sama ada pengisytiharan itu masih ada asas.

LTTE dibubarkan pada 2009 selepas ditewaskan tentera Sri Lanka.


BacaAlasan penuh AG bebaskan 12 tertuduh berkaitan LTTE


Exco Pemuda Bersatu Muzzammil Ismail juga berkata keputusan Thomas telah mencabar kewibawaan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Katanya, Thomas turut mengganggu siasatan dan pendakwaan yang dibuat oleh polis yang sebelum ini menyatakan ada bukti yang kuat terhadap kes itu.

"Kesan kepada pengguguran (kes) ini menyebabkan rakyat menjadi sangsi dan tidak yakin terhadap sistem perundangan dan kekukuhan politik kerajaan PH," katanya dalam kenyataan.

Muzzammil

Beliau turut mempersoalkan sama ada suspek penyokong organisasi yang diklasifikasikan sebagai pengganas, misalnya Daesh, boleh memohon agar kes terhadap mereka digugurkan.

"Memang peguam negara ada kuasa untuk menentukan prosiding suatu kes namun isunya di sini adakah tindakannya dapat melangkaui perdana menteri atau menteri dalam negeri?

"Hal yang lebih besar adalah persepsi rakyat terutama orang Melayu terhadap kerajaan sekarang semakin merosot kerana keputusan sebegini dilihat berat sebelah," katanya lagi.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno Mustafa Shah Abdul Hamid berkata Thomas telah "memporak-porandakan undang-undang negara" dan perlu meletakkan jawatan dengan segera.

"Saya pasti ramai yang geleng kepala dengan keputusan diambil oleh peguam negara. Ini isu serius kerana membabitkan keselamatan negara.

"Soal keselamatan negara serta rakyat tidak boleh dikompromi dan peguam negara telah membuat satu keputusan yang menyuntik kebimbangan rakyat terhadap soal keselamatan negara," katanya dalam kenyataan.

Lihat Komen