malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Khalid Samad: PH setuju tak beri tekanan pada Dr M isu peralihan kuasa
ADS

Parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) setuju dan sepakat untuk tidak memberi tekanan terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung isu peralihan kuasa, kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abdul Samad.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata keputusan telah dicapai pada mesyuarat Majlis Presiden PH yang dipengerusikan Dr Mahathir malam tadi, antaranya kesepakatan dalam kalangan pemimpin parti komponen untuk menyerahkan kepada perdana menteri bagi menentukan tarikh peralihan kuasa.

“Yang penting kerajaan PH terus memerintah serta mentadbir negara dengan baik dan mendatangkan manfaat kepada rakyat. Ini perjuangan kita, bukan perjuangan untuk mana-mana individu, ia adalah untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya,” katanya.

Beliau berkata isu "nak bergaduh-gaduh" serta "nak jawatan" adalah rekaan pihak tertentu untuk memberi gambaran bahawa kerajaan PH tidak mantap dan tidak stabil.

“Kita tegas dan bersatu serta kita akan mentadbir dan menjadi kerajaan sehingga rakyat memutuskan sebaliknya," katanya kepada media selepas merasmikan Larian Budi Wilayahku Half Marathon Putrajaya 2020 hari ini.

“Jadi, mana-mana pihak yang nak cuba timbulkan pembalahan, (dengan keputusan mesyuarat Majlis Presiden PH) malam tadi kita nak beritahu mereka telah gagal,” katanya.

Sementara itu, Khalid berharap penganjuran acara sukan yang melibatkan penyertaan ramai orang awam akan dapat menyemarakkan semangat kesukanan dan budaya gaya hidup sihat.

Larian Budi Wilayahku anjuran Persatuan Alumni UiTM Malaysia dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Putrajaya menarik penyertaan 4,000 peserta tempatan dan antarabangsa.

- Bernama

Lihat Komen