BERITA

PH serah pada Dr M tarikh peralihan kuasa

Wartawan Malaysiakini

21 Feb 2020, 4:21 pm

Dikemaskini 5 bulan lepas

A
+
A
-

Majlis Presiden PH menyerahkan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk memutuskan tarikh peralihan kuasa selepas Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di ibu negara Nov depan.

Bercakap pada sidang media lewat malam di Putrajaya, Mahathir berkata PH membuat keputusan itu sebulat suara.

"Kita telah bincang panjang lebar berkenaan dengan masa depan parti.

"Akhirnya saya tak payah lah ulang apa yang kita capaikan. Terdapat dua pendapat.

"Akhirnya semuanya diserah kepada saya. Apa yang saya cakap mereka akan turut. Peralihan akan berlaku lepas Apec.

"Tiada tempoh masa (timeframe), terpulang kepada saya sama ada saya nak lepas atau tidak.  Itulah kepercayaan yang kita persetujui oleh (Majlis Presiden) parti kepada saya. Alhamdulillah,” katanya.

Pada sidang media itu juga, Dr Mahathir diapit oleh bakal penggantinya Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir pimpinan tertinggi parti-parti dalam gabungan PH, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali tidak kelihatan pada sidang akhbar itu.

Sementara itu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata semua pihak tidak ada keraguan terhadap Dr Mahathir selaku perdana menteri.

“Saya cadang Tun diberi peluang mentadbir negara dan tetapkan bila masa yang sesuai. Sementara itu saya kena bersabar,” kata Anwar.

Dalam perkembangan lain, Mahathir berkata, mesyuarat malam ini juga berbincang tentang Pilihan Raya Sarawak bagi penyusunan kerusi untuk memastikan tidak berlaku pertembungan sesama sendiri.

Jelas beliau, PH akan mengadakan satu konvensyen bagi membincang dan menyeleraskan pilihan raya negeri Sarawak.

Sebelum ini, Dr Mahathir telah berulang kali berjanji untuk meletakkan jawatan selepas sidang kemuncak Apec di Kuala Lumpur pada November akan datang.

Sarawak Report pada 11 Feb lalu mendakwa terdapat sekumpulan anggota parlimen kini sedang mengusahakan akuan berkanun (SD) bagi menyokong Dr Mahathir.

Bagaimanapun, Anwar menafikan penglibatan Mahathir dalam isu SD itu, namun menjelaskan terdapat usaha daripada PAS, Umno dan "sekumpulan" ahli PKR.

Terdapat juga usaha dalam parti Anwar sendiri untuk meraih dua SD berasingan - satu menyokong presiden PKR dan yang lain supaya Dr Mahathir berkhidmat sehingga habis penggal.

PAS juga turut merancang untuk menggerakkan undi percaya buat Dr Mahathir bagi menerajui negara sehingga akhir penggal di Dewan Rakyat pada Mac ini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Laporan Berkaitan