malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pegawai polis kasar dalam video tular dah dapat 'nasihat'
ADS

Gelagat seorang pegawai polis yang kasar, termasuk menjerit kepada orang awam, ketika insiden perobohan kandang lembu di Klang baru-baru ini, telah diberi nasihat untuk menjaga etika tugas.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaluddin mengesahkan bahawa pegawai polis tersebut telah dipanggil dan telah diberi nasihat.

"Untuk makluman, pihak kami telah panggil pegawai tersebut dan beri nasihat supaya sentiasa menjaga tata susila ketika berhadapan dengan orang awam khususnya semasa menjalankan tugas," katanya dalam mesej ringkas kepada Malaysiakini.

Noor Azam diminta mengulas satu klip video tular yang memaparkan seorang pegawai polis menggunakan kata-kata tidak hormat terhadap orang awam ketika insiden perobohan tersebut.

Dalam video 1.27 minit itu, pegawai polis itu menjerit ketika mengusir orang awam.

Dia menggunakan kata-kata seperti “baliklah”, “dei”, “kalau ambil video saya akan tangkap”, “kamu ini budak kecil bagi saya”, “kamu tidak tahu siapa saya”, “saya juga anak jati Klang” dengan nada yang keras, menggunakan bahasa Tamil.

Netizen mengkritik tindakan itu dan menyifatkannya tidak profesional.

Sebelum itu, anggota parlimen Batu P Prabakaran merakamkan rasa tidak puas hati dengan gelagat pegawai tersebut.

"Saya melihat keadaan ini secara serius dan meminta pihak polis untuk mengambil tindakan tatatertib yang tegas ke atas anggota-anggota yang merosakkan imej PDRM dengan kelakukan sebegini," jelasnya.

Lihat Komen