malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peralihan kuasa: Jangan lebih sudu dari senduk - Husam
ADS

Keputusan mengenai peralihan kuasa antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim sudah diletakkan asas oleh kedua-dua pemimpin tersebut, kata Pengerusi PH Kelantan, Senator Husam Musa.

Tegasnya, tidak perlu campur tangan pihak luar dan tidak patut mengenakan tekanan atau memainkan apa-apa peranan daripada apa yang diaturkan kedua-dua pemimpin berkenaan.

"Saya kira kedua-dua pemimpin telah meletakkan asas yang baik, tidak perlu pihak luar dan tidak patut mengenakan tekanan atau memainkan apa-apa peranan luar daripada apa yang telah diaturkan.

"Jadi janganlah sudu lebih daripada senduk, senduk dah letak asas, sudu pandai-pandailah sesuaikan diri," katanya ketika ditanya mengenai isu peralihan kuasa yang dijangka akan dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH, esok.

Husam yang juga pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) berkata demikian selepas menyambaikan Bantuan Bencana Padi Musim 2/2008 di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, polemik mengenai peralihan kuasa semakin hangat apabila dikatakan terdapat akuan bersumpah (SD) dalam kalangan anggota Parlimen (MP) yang mahu Mahathir kekal sehingga habis penggal.

Perkara itu turut dibangkitkan Anwar yang juga dengan mendakwa MP Umno, PAS dan segelintir PKR menandatangani SD berkenaan.

Pada 16 Feb lalu, pemimpin PKR memberi bayangan sesuatu perlu dilakukan, termasuk tekanan daripada pandangan awam sekiranya pelan peralihan kuasa antara Mahathir dan Anwar tidak berlaku.

Sementara itu Husam berkata, dalam isu peralihan kedua-dua pihak iaitu Mahathir telah menyatakan bila tiba masanya beliau akan berundur dan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada pemimpin yang dipersetujui sebelum ini.

"Bagi Anwar pula acap kali beliau buat kenyataan supaya tidak perlu ketergesaan atau tekanan yang tidak sepatutnya terhadap Mahathir," katanya.

Lihat Komen