malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M: Pemimpin perlu tunjuk kebolehan supaya tak ada pihak cuba rebut kedudukan
ADS

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata seorang pemimpin harus menunjukkan kebolehan agar kedudukannya tidak cuba direbut pihak lain.

“Pemimpin kena tunjuk kebolehan supaya tiada orang lain yang mencabar dan tidak ada yang mencuba rebut kedudukan sebagai pemimpin,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian dalam ucaptama di program Sekolah Kepemimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) di Kuala Lumpur hari ini.

Kenyataan Dr Mahathir itu hadir ketika isu peralihan jawatan perdana menteri terus dihurung spekulasi, dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim, yang dijangka menggantikan Dr Mahathir dilihat berdepan cabaran dari dalam dan luar partinya.

Laman pembocor maklumat Sarawak Report sebelum ini mendakwa terdapat sekumpulan anggota parlimen yang terdiri daripada wakil rakyat Umno, PAS, Bersatu dan kumpulan penyokong timbalan Anwar, Mohamed Azmin Ali sedang mengusahakan akuan berkanun (SD) bagi menyokong Dr Mahathir.

Anwar kemudian bertemu dengan Dr Mahathir di Putrajaya dan selepas itu mengesahkan terdapat “muslihat licik” sedang diusahakan, tetapi menafikan penglibatan Dr Mahathir.

Dr Mahathir pula menegaskan bahawa beliau akan menunaikan janji untuk berundur selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang akan diadakan Nov ini.

Dalam ucaptamanya malam ini, Dr Mahathir turut berkata bahawa sekiranya pemimpin terlalu menghabiskan masa bersaing sesama sendiri, mereka akan lupa untuk menjalankan tugas mereka.

“Kalau mempunyai terlalu ramai pemimpin akan menimbulkan masalah dan jika mereka berlawanan sesama mereka, mereka lupa dengan tugas mereka untuk memimpin.

“Apabila pemimpin habiskan masa dan tenaga bersaing sesama sendiri maka mereka akan hilang keupayaan menyaingi,” katanya lagi.

Turut hadir pada program malam ini, isteri perdana menteri Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan timbalannya, Steven Sim.

Untuk rekod, MFLS merupakan sebuah program baru yang dibentuk untuk melahirkan pemimpin belia yang berkebolehan.

Lihat Komen