BERITA

Ekonomi Sarawak belum terkesan oleh Covid-19

Bernama

19 Feb 2020, 2:18 tengahari

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Penularan Covid-19 masih belum memberi kesan ke atas ekonomi Sarawak, kata Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata tidak seperti di Semenanjung Malaysia yang sektor perkhidmatannya termasuk pelancongan telah pun terjejas berikutan sumbangan besarnya kepada ekonomi, situasi di Sarawak berbeza kerana sumbangan sektor itu terhadap keluaran dalam negara kasar (KDNK) negeri tidak begitu besar.

"Sarawak tidak terlalu bergantung kepada sektor perkhidmatan untuk menjana ekonominya walaupun dalam pelancongan, kerana ketibaan pelancong China ke sini tidak begitu ramai.

"Kami menerima lebih ramai pelancong domestik seperti (dari) Brunei dan Kalimantan, Indonesia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Aplikasi Perjalanan dan Portal Sesawang Sarawak, di Kuching, hari ini.

Abang Johari berkata kerajaan negeri telah menyuntik sejumlah besar dana bagi pembangunan prasarana yang akan membantu mengekalkan pertumbuhan ekonomi antara lima hingga enam peratus tahun ini.

"Masalah ini (penularan Covid-19 ) hanya memberi sedikit kesan kepada kita kerana ekonomi Sarawak distruktur agar tidak terlalu bergantung kepada sektor perkhidmatan," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari berkata semua sektor dalam ekonomi Sarawak perlu didigitalkan, dengan semua data disatukan dan digunakan sepenuhnya untuk pertumbuhan produk tempatan.

Pelancaran Aplikasi Perjalanan dan Portal Sesawang Sarawak itu adalah bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 dan kempen Melawat Sarawak.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen