malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
318 kilang haram di Batu Pahat diberi notis peringatan
ADS

Sebanyak 318 pemilik kilang dalam kawasan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) telah diberikan notis peringatan kerana beroperasi secara haram.

Yang Dipertua MPBP Kamalludin Jamal berkata mereka yang menerima notis itu diberikan tempoh sehingga 15 Mac depan untuk mengisytiharkan operasi kilang masing-masing bagi proses pemutihan.

“Melalui operasi khas sebelum ini sebanyak 880 buah kilang berjaya dikesan beroperasi secara haram, namun 318 pemilik kilang, pemilik tanah dan premis terlibat telah diberikan notis untuk menjalani proses pemutihan

“Proses pemutihan terhadap baki kilang yang lain pula akan kami laksanakan dalam fasa kedua dan ketiga yang dijangka berlangsung sehingga hujung tahun,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Kamalludin berkata jika ingkar dan tidak mengendahkan notis peringatan itu, pemilik kilang, tanah atau premis tersebut akan berdepan dengan tindakan undang-undang termasuk kemungkinan kilang akan diroboh atau disita.

Katanya antara kawasan ‘hotspot’ kilang haram itu adalah di Minyak Beku, Parit Bilal dan Parit Besar kerana dibina di tanah berstatus pertanian, kedai atau rumah kedai dan kawasan perumahan.

-- BERNAMA

Lihat Komen