malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peka gesa Selangor tak mansuh status Hutan Simpan Kuala Langat Utara
ADS

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) menggesa kerajaan Selangor supaya tidak memansuhkan status hutan simpan kekal bagi Hutan Simpan Kuala Langat Utara kerana ia kaya dengan sumber biodiversiti unik.

Naib Presiden 1 Peka, Saha Deva berkata sekiranya cadangan pemansuhan itu diteruskan, ia bukan sahaja akan memusnahkan keadaan semula jadi hutan tetapi juga menjejaskan habitat flora dan fauna serta mata pencarian penduduk kampung di sekitar kawasan tersebut.

“Hutan itu merupakan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS1) dan ia kaya dengan biodiversiti unik termasuk spesies Tupai Pygmy yang hanya boleh ditemui di sana.

“Kawasan tersebut juga merupakan hutan gambut dan bakau kedua terpenting di Selangor selepas Hutan Simpan Raja Musa di Kuala Selangor,” katanya kepada pemberita di Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, Saha bersama-sama Setiausaha Agung Otai Reformis 1998 Abdul Razak Ismail,menyerahkan memorandum bantahan cadangan pemansuhan itu di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, di sini dan diterima Pengarah Perhutanan Selangor, Mohd Ridzuwan Endot.

Abdul Razak pula berkata, cadangan pemansuhan hutan simpan berkeluasan 930.9 hektar itu dilihat bakal memusnahkan khazanah alam di dalamnya yang berusia kira-kira 8,000 tahun.

Malah, kata beliau, ia juga akan memberi kesan terhadap tujuh perkampungan Orang Asli yang terletak berdekatan dengan hutan berkenaan.

“Hutan simpan itu adalah milik nenek moyang tiga generasi masyarakat Orang Asli di situ dan ia merupakan tempat mereka memburu haiwan liar serta sumber mata pencarian golongan tersebut," katanya.

Sebelum ini, Jabatan Perhutanan Selangor mengeluarkan notis cadangan bagi memansuhkan pewartaan status hutan simpan berkenaan menerusi ruangan iklan di akhbar tempatan.

- Bernama

Lihat Komen