malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zahid tak janji projek MyEG, tapi adik Zahid yang janji - saksi
ADS

Pemilik syarikat Berani & Jujur Trading, Junaith Asharab Md Shariff memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah berjanji untuk memberikan projek MyEG kepada syarikatnya.

Sebaliknya, kata saksi ke-36 perbicaraan kes rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah (CBT) dana Yayasan Akalbudi melibatkan Ahmad Zahid itu, perkara berhubung projek MyEG dijanjikan oleh adik Ahmad Zahid, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.

Perkara itu dimaklumkannya dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela Hamidi Mohd Noh.

Hamidi: Setuju dengan saya, projek-projek ini (projek MyEG) tidak dijanjikan oleh Datuk Zahid, tetapi dijanjikan oleh Datuk Nasaee?

Junaith: Setuju.

Hamidi merujuk pernyataan saksi Junaith sebelum itu yang menyatakan Ahmad Zahid berjanji memberikannya projek MyEG berkaitan pendaftaran sumber pekerja asing berjumlah lebih kurang RM50 juta selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14, selepas dia menyerahkan cek sumbangan kepada Ahmad Zahid.

“Saya diminta oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menghantar proposal berkenaan projek MyEG yang dijanjikan selepas pilihan raya ke-14.

“Walau bagaimanapun, proposal projek MyEG tidak sempat dibuat dan tidak sempat dihantar kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana selepas pilihan raya yang ke-14 kerajaan telah bertukar dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi menjadi menteri dalam negeri,” katanya dalam pernyataan bertulisnya.

Junaith turut bersetuju dengan cadangan Hamidi bahagian tersebut dalam pernyataan bertulisnya adalah sebenarnya tidak tepat.

Hal itu dibangkitkan sekali lagi oleh seorang lagi peguam bela, Ahmad Zaidi Zainal semasa pemeriksaan balas, yang merujuk jawapannya ketika disoal Hamidi.

Zaidi: Soalan saya, masih berpegang atau tidak pada jawapan tadi (Ahmad Zahid tidak pernah berjanji memberikan kontrak MyEG)?

Junaith: Saya berharap dapat kontrak.

Zaidi: Berharap itu perkara lain. Betul atau tidak, Datuk Zahid tak pernah janjikan apa-apa projek MyEG?

Junaith: Saya selalu berbincang dengan Nasaee. Dia (Ahmad Zahid) tak pernah sebut dengan mulut dekat saya.

Zaidi: Itu yang saya nak tahu. Yang ada dalam kandang OKT (orang kena tuduh) sekarang ini adalah Datuk Zahid. Soalan saya, adakah Datuk Zahid pernah menjanjikan untuk beri (projek) kepada Encik Junaith?

Junaith: Tidak.

Ahamd Zahid dituduh menerima rasuah syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services iaitu 10 keping cek berjumlah RM5 juta milik Berani & Jujur melalui Junaith (pertuduhan ke-13).

Beliau turut dituduh menerima rasuah daripada Mastoro Kenny iaitu sekeping cek bernilai RM250,000 milik syarikat Jogabonito Jewellery & Diamonds melalui Junaith (pertuduhan ke-11), dan rasuah daripada Mastoro Kenny iaitu 13 keping cek berjumlah RM8 juta milik syarikat itu, juga melalui Junaith (pertuduhan ke-12).

Ahmad Zahid didakwa melakukan ketiga-tiga pertuduhan itu sebagai dorongan bagi melakukan suatu transaksi yang dicadangkan berlaku, iaitu membantu syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services untuk mendapatkan projek-projek MyEG di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri Malaysia.

Dalam pernyataan saksinya, Junaith berkata dalam satu pertemuan dengan pada 2016, Ahmad Zahid ada memintanya memberikan sumbangan tunai “bagi membangunkan masjid dan tahfiz”, lalu dia menyuarakan hasrat untuk menyumbang RM10 juta “secepat mungkin”.

Ketika disoal Hamidi berhubung perkara itu, Junaith bersetuju bahawa jumlah cadangan sumbangan RM10 juta itu adalah cadangannya sendiri, dan memandangkan jumlah itu bukan sedikit, dia turut mengakui cadangan Hamidi bahawa dia datang daripada latar belakang keluarga yang kaya.

Kemudian, Hamidi turut menyoal Junaith sama ada dia bersetuju bahawa untuk RM10 juta yang mahu disumbangkannya itu, yang penting bukanlah pada jumlahnya, tetapi pada pahalanya.

“Untuk dunia akhirat,” jawab Junaith ringkas.

Perbicaraan yang masuk hari ke-17 itu dilakukan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Lihat Komen