malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes Zahid: Saksi pendakwaan belot, bercanggah kenyataan sendiri
ADS

Perbicaraan kes rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah (CBT) dana Yayasan Akalbudi melibatkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini panas seketika apabila saksi ke-36 pendakwaan mengakui tiga perenggan daripada pernyataan saksi bertulisnya adalah tidak benar.

Ketika pemeriksaan balas, pemilik syarikat Berani & Jujur Trading, Junaith Asharab Md Shariff bersetuju dengan cadangan pasukan pembelaan yang bertentangan sama sekali dengan perenggan ke-53, 55, dan 56 dalam pernyataan bertulisnya sendiri.

Hal itu membuatkan pasukan pendakwaan memohon Hakim Collin Lawrence Sequerah untuk menganggap Junaith sebagai saksi belot (hostile witness) bagi mencabar kredibilit saksi, sekaligus memberikan mereka peluang untuk membuat pemeriksaan balas terhadap saksi.

Untuk rekod, dalam kes pendakwaan, pemeriksaan balas sepatutnya hanya dilakukan oleh pasukan pembelaan.

Hakim membenarkan permohonan tersebut.

Perenggan 53 pernyataan saksinya berbunyi: “Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu saya pembayaran dibuat kepada Messrs Lewis&Co kerana Messrs Lewis&Co adalah trustee (pemegang amanah) kepada Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi.”

Perenggan 55 berbunyi: “Pada masa yang sama selepas saya menyerahkan cek tersebut Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi berjanji untuk memberikan saya projek MyEG berjumlah lebih kurang RM50 juta selepas pilihan raya (umum) ke-14. Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu saya projek tersebut berkaitan dengan pendaftaran sumber pekerja asing”.

Perenggan 56 pula berbunyi: “Saya diminta oleh Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menghantar proposal berkenaan projek MyEG yang dijanjikan selepas pilihan raya (umum) ke-14”.

Terdahulu semasa pemeriksaan balas, Junaith bersetuju dengan cadangan peguam bela Hamidi Mohd Noh bahawa Messrs Lewis&Co sebenarnya bukanlah pemegang amanah Ahmad Zahid, tetapi pemegang amanah Yayasan Akalbudi.

Junaith turut bersetuju dengan Hamidi bahawa perenggan 55 dan 56 sebenarnya bukan dijanjikan oleh Ahmad Zahid, tetapi oleh adik Zahid, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi, dan dia turut bersetuju bahawa perenggan-perenggan itu adalah “tidak tepat”.

Malah, semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Ahmad Zaidi Zainal, Junaith turut bersetuju dengan cadangan Ahmad Zaidi bahawa kenyataan pada perenggan 55 pernyataan bertulisnya bukan sahaja tidak tepat, tetapi “tidak benar sama sekali”.

'Mungkin terkeliru'

Ketika diminta menjelaskan percanggahan kenyatannya oleh timbalan pendakwa raya Gan Peng Kun dalam pemeriksaan balas pasukan pendakwaan, kata Junaith, dia mungkin terkeliru semasa memberi kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketika disoal timbalan pendakwa raya Lee Keng Fatt pula, Junaith mengakui bahawa dia akrab dengan Nasaee dan Ahmad Zahid, namun tidak bersetuju dengan cadangan Lee bahawa dia sanggup berbuat “apa -apa” sahaja untuk membantu mereka.

Semasa pemeriksaan balas oleh Zaidi yang mewakili pasukan pembelaan pula, Junaith mengakui “tertekan” sepanjang 12 jam dia berada di ibu pejabat SPRM pada hari pertama keterangannya direkodkan, iaitu enam jam disoal-siasat (dari jam 10 pagi hingga 4.30 petang), dan selepas itu barulah dirakam keterangan sehingga jam 10 malam.

Zaidi: Pada jam 10 malam, selepas 12 jam Encik Junaith berada di SPRM, kamu akan tandatangan apa sahaja untuk dapat balik, boleh setuju?

Junaith: Boleh setuju.

Zaidi: Betul atau tidak kalau saya katakan Datuk Zahid tak pernah menjanjikan projek kepada Encik Junaith (merujuk perenggan 55)

Junaith: Datuk Zahid tak pernah berjanji dengan saya.

Sebelum itu, berdasarkan pernyataan saksinya, Junaith mengesahkan dia telah memberikan 10 keping cek syarikat Berani & Jujur berjumlah RM5 juta yang dikosongkan penerimanya kepada Ahmad Zahid sebagai sumbangan untuk membangunkan masjid dan bangunan tahfiz di daerah Bagan Datuk.

Dia juga mengesahkan menyerahkan 13 cek syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services berjumlah RM5 juta yang dikosongkan penerimanya kepada Ahmad Zahid, yang telah ditandatangani terlebih dahulu oleh saksi ke-35, M Kumaraguru iaitu pemilik sah Mastoro Kenny.

Dia bagaimanapun mengesahkan Ahmad Zahid memaklumkan kepadanya bahawa pembayaran tersebut akan dibuat kepada Messrs Lewis & Co.

Dia juga pernah menyerahkan dua keping cek syarikat Jogabonito Jewellery and Diamonds (milik M Kumaraguru) berjumlah RM500,000 (RM250,000 setiap satu) yang dikosongkan penerimanya kepada Nasaee.

Katanya, dia meminta untuk menggunakan cek Jogabonito daripada Kumaraguru kerana cek syarikatnya Berani & Jujur telah kehabisan, namun dia memberitahu Kumaraguru bahawa dia akan memasukkan semula jumlah wang tersebut ke akaun Jogabonito kemudiannya.

Sebelum Junaith, Kumaraguru turut memberikan keterangan sebagai saksi ke-35 hari ini.

Dalam pernyataan saksinya, dia mengakui membuka syarikat Mastoro Kenny pada tahun 2016 kerana diminta Junaith- yang merupakan kawannya selama 33 tahun sejak sekolah- untuk membuka sebuah syarikat perunding IT.

Katanya, Junaith memaklumkan bahawa dia boleh mendapatkan projek daripada MyEG.

Meskipun merupakan pemilik Mastoro Kenny, jelas Kumaraguru, Junaith lah yang menggunakan akaun Mastoro Kenny dan dia juga menyerahkan buku cek kosong berserta nombor pin perbankan internet untuk akaun Mastoro Kenny kepada Junaith sementara dia hanya menandatagani cek.

“Saya tidak mengetahui jumlah wang yang masuk ke dalam akaun ini melainkan apabila dimaklumkan oleh Junaith Ashrab Md Shariff,” katanya.

Dia juga mengesahkan pernah menandatangani 13 keping cek kosong Mastoro Kenny (ada yang diketahui amaunnya, ada yang tidak) serta dua keping cek Jogabonito (berjumlah RM250,000 setiap satu), namun kesemua cek itu katanya dikosongkan penerimanya.

Menurut Kumaraguru, Mastoro Kenny tidak pernah mendapat apa-apa projek daripada MyEG atau dari pihak lain sejak ia ditubuhkan sehinggalah ditutup pada awal tahun 2018.

Lihat Komen