BERITA

Projek solar: Ahli perniagaan ganggu, ugut pegawai KPM - saksi

19 Feb 2020, 12:16 pm

Dikemaskini 4 bulan lepas

A
+
A
-

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa seorang ahli perniagaan pernah mengganggu dan mengugut pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya mempercepat kelulusan projek solar hibrid membabitkan sekolah luar bandar Sarawak kepada Jepak Holdings Sdn Bhd.

Tan Sri Dr Madinah Mohamad, 63, berkata ketika menyandang jawatan Ketua Setiausaha (KSU) di KPM, beliau menerima aduan melalui pegawai khasnya bahawa terdapat seorang lelaki telah mengganggu pegawai-pegawai di Bahagian Perolehan dan Pembangunan KPM.

"Nama orang itu adalah Rayyan. Beliau bercakap kasar dan mengugut pegawai-pegawai ini sekiranya tidak menyegerakan projek solar hibrid itu, beliau akan mengadu kepada perdana menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak).

"Rayyan juga menyatakan bahawa beliau ingin berjumpa dengan KSU dan pegawai saya minta bantuan daripada saya untuk jumpa Rayyan kerana mereka tidak tahan lagi dengan ugutan dan juga kata-kata yang kasar daripada Rayyan," katanya yang turut memaklumkan bahawa Rayyan tidak pernah mengugut beliau sebagaimana lelaki itu mengugut pegawai KPM lain.

Madinah berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dalam perbicaraan kes rasuah isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkaitan projek solar itu.

Rayyan, atau nama sebenarnya Rayyan Radzwill Abdullah, merupakan rakan kongsi Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Madinah, yang bersara pada 2 Sept 2016, berkata selain Rayyan, beliau sering menerima panggilan telefon dan mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada pembantu Rosmah iaitu Datuk Rizal Mansor berhubung urusan perolehan projek solar hibrid.

"Datuk Rizal dan Rayyan saling lengkap-melengkapi dalam mengemukakan maklumat kepada saya dan saya menganggap bahawa mereka benar-benar 'in touch' dengan perdana menteri ketika itu (Najib). Saya pun berhati-hati dalam memberi sebarang jawapan kepada Rayyan sepanjang saya berkomunikasi dengannya," kata saksi itu.

Sementara itu, semasa pemeriksaan semula oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pendakwaan, Madinah berkata beliau tidak pernah menerima sebarang wang daripada Jepak Holdings, Saidi, Rizal, Rayyan atau tertuduh membabitkan projek solar.

Menjawab soalan Sri Ram mengapa beliau tidak menasihati Najib berkaitan projek itu, Madinah berkata sebarang komunikasi mengenainya, sama ada isu atau daya maju projek itu telah disampaikan olehnya sebagai KSU kepada menteri.

“Saya kemudian mendapatkan nasihat menteri dan beliau berkata beliau akan memaklumkannya kepada PM (Najib).

“Kami juga memerlukan lebih banyak masa untuk menilai cadangan itu, dan kami memerlukan lebih banyak maklumat daripada Jepak untuk penelitian terperinci seperti pecahan keperluan kewangan, skop projek itu dan konsultan yang ingin diupah Jepak bagi mengawasi projek itu serta banyak lagi perkara berkaitan yang diperlukan Kementerian Kewangan sebelum projek itu boleh diluluskan.

“Saya telah memaklumkan KPM beberapa kali mengenai keperluan ini dan saya tidak boleh melangkau sempadan dan pergi terus kepada perdana menteri. Saya tidak boleh memutuskan rantaian perintah,” kata Madinah.

Sri Ram: Dalam perkhidmatan awam, adakah anda mengatakan bahawa rantaian perintah tidak terputus?

Madinah: Ya, betul.

Rosmah, 68, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi melalui Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di Kuala Lumpur; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya di antara Jan 2016 dan 7 Sept 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.