malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MCA gesa k'jaan pastikan Orang Asli kais sampah ada sumber pendapatan alternatif
Diterbitkan:  Feb 19, 2020 8:14 PM
Dikemaskini: 12:14 PM
ADS

Kerajaan perlu memastikan sumber pendapatan alternatif bagi masyarakat Orang Asli yang tinggal berhampiran tapak pelupusan sampah di Bandar Muadzam Shah, Pahang, kata Timbalan Presiden MCA Mah Hang Soon.

Mah merujuk masyarkat Orang Asli di kawasan itu yang mencari bahan kitar semula di tempat pelupusan sampah berkenaan sebagai sumber pendapatan.

Kenyataan Mah hadir selepas Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Pahang (SWCorp) menegaskan larangan masuk ke kawasan pelupusan sampah itu terhadap orang awam.

"Dalam masa terdekat, apakah langkah-langkah yang diambil Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk memastikan masyarakat Jakun di kawasan itu yang terjejas mempunyai sumber pendapatan?

"Apa yang dilakukan Jakoa ketika ada kampung Orang Asli yang mengais di tempat pelupusan sampah untuk sumber pendapatan?

"Berapa banyak lagi kumpulan yang terpinggirkan seperti mereka di Bukit Ibam dan Bukit Biru yang tinggal di kediaman yang lebih buruk berbanding tempat tinggal haiwan peliharaan orang kaya?" soal Mah.

Mah berkata beliau berharap Jakoa tidak akan menunggu sehingga kejadian Kuala Koh yang menyaksikan kira-kira 16 orang masyarakat Bateq meninggal dunia akibat penyakit susulan pemakanan yang kurang sihat dan tidak diberikan vaksin.

Mah turut menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memantau kesihatan masyarakat Orang Asli berkenaan dan memastikan mereka mendapat makanan sihat.

Beliau menambah bahawa kerajaan juga perlu memperbaiki keadaan kampung Orang Asli di kawasan itu dengan memastikan wujudnya kemudahan asas.

Menyorot bahawa ramai yang mengais di kawasan pelupusan sampah itu kanak-kanak, Mah menegaskan bahawa kerajaan perlu memastikan mereka diberikan pendidikan yang sewajarnya.

Beliau menambah bahawa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah boleh mempertimbangkan menyediakan panduan untuk membantu masyarakat di sana untuk terlibat dalam kegiatan pertanian.

Lihat Komen