BERITA

Malaysia pengguna terbesar rokok seludup dalam dunia

19 Feb 2020, 11:49 am

Dikemaskini 4 bulan lepas

A
+
A
-

Malaysia dianggarkan kehilangan RM5 bilion dalam bentuk pendapatan cukai setahun kesan daripada penjualan rokok kontraban, menurut Japan Tobacco International Bhd (JTI Malaysia).

Pengarah Urusan JTI Malaysia Cormac O’Rourke berkata bahawa perdagangan rokok tidak sah itu terus berleluasa dan melonjak dengan ketara dalam empat tahun lepas dengan sekurang-kurangnya enam daripada 10 rokok yang dihisap di negara ini adalah kontraban.

“Perdagangan rokok kontraban mencecah 62.3 peratus untuk tahun lepas berbanding 58.9 peratus dalam 2018, peningkatan 3.4 titik peratusan dari tahun ke tahun.

Berdasarkan perangkaan ini, dianggarkan 12.2 bilion batang rokok kontraban dijual dan dihisap di Malaysia tahun lepas,” katanya dalam satu taklimat media mengenai Keadaan Terkini - Perdagangan Rokok Kontraban di Malaysia, di Kuala Lumpur hari ini.

Keadaan itu menjadikan Malaysia sebagai pengguna terbesar rokok kontraban dalam dunia, dituruti oleh Uganda dan Brazil.

Pada masa sama, O’Rourke berkata beliau mengalu-alukan penubuhan Pasukan Petugas Pelbagai-Agensi (MATF) oleh Kementerian Kesihatan yang dipimpin oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk membanteras penyeludupan dan perdagangan rokok haram di Malaysia.

Beliau berkata kewujudan pasukan petugas melibatkan kementerian seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Polis Diraja Malaysia, seharusnya memperkasakan usaha untuk membanteras perdagangan haram secara menyeluruh.

“Bersama-sama industri tembakau yang sah di Malaysia, pasukan petugas ini akan bertanggungjawab menubuhkan satu kerangka kerjasama yang strategik dan selaras untuk menangani krisis rokok kontraban.

Penubuhan MATF menyediakan peluang untuk kerajaan memahami dan menghapuskan perdagangan rokok haram buat selama-lamanya. Pencapaian matlamat ini akan menjadi pencapaian penting dalam usaha kerajaan menamatkan ekonomi gelap yang dianggarkan pada kadar 21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar atau kira-kira RM300 bilion setahun,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata sebarang usaha untuk menangani perdagangan rokok haram mesti diiringi dengan penggubalan dasar di peringkat kabinet yang bersepadu serta menyokong usaha MATF dan bukan menyangkal usaha mereka.

“Gesaan kepada sebarang langkah kawal selia yang menyimpang daripada masalah sebenar adalah sebagai satu usaha yang semborono”, katanya.

-Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.