malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Guan Eng tidak pengerusikan mesyuarat Tabung Haji
Diterbitkan:  Feb 19, 2020 6:37 PM
Dikemaskini: 10:37 AM
ADS

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof hari ini menafikan kononnya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah mempengerusikan mesyuarat berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) seperti yang ditularkan menerusi sekeping gambar.

Dalam satu kenyataan, ia menjelaskan bahawa gambar itu sebenarnya menunjukkan sesi kunjung hormat yang dilakukan Mujahid bagi memberi penerangan tentang gagasan Rahmatan Lil ‘Alamin pada 18 Feb 2019 yang turut disertai beberapa pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Penyebaran gambar itu dilihat disengajakan dengan tujuan sempit bagi menyebarkan kebencian kaum dan agama di negara ini,” menurut kenyataan itu sambil menyifatkan tuduhan yang dibuat sangat tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

Ia memaklumkan bahawa menurut Akta Tabung Haji 1995, menteri yang bertanggungjawab ke atas TH ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan hal ehwal agama Islam, dan bukannya Menteri Kewangan.

Kenyataan itu memberitahu satu laporan polis telah dibuat berhubung penularan gambar berkenaan dan menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai sebarang penularan berita palsu yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab.

- Bernama

Lihat Komen