malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tertuduh kes bunuh pengurus bank dibenar kemuka semakan kehakiman
Diterbitkan:  Feb 19, 2020 6:32 PM
Dikemaskini: 10:32 AM
ADS

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan seorang pegawai Teknologi Maklumat, yang terlibat dalam insiden baran jalanan sehingga menyebabkan kematian seorang pengurus bank di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Bandar Baru Bangi, Selangor tahun lepas, mengemukakan semakan kehakiman bagi mencabar pertuduhan membunuh yang dihadapinya.

Bercakap kepada pemberita selepas prosiding itu, peguam Wee Choo Keong yang mewakili Yew Wei Liang, 42, berkata Hakim Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujah pemohon dan responden.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan hadir bagi pihak Peguam Negara (AG) yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu.

"Pada masa pemohon didakwa, tiada laporan kimia, tiada laporan bedah siasat dan tiada laporan forensik. Dia didakwa tetapi tidak ada sijil izin untuk mendakwa daripada AG.

"Sekarang kami menyatakan bahawa kami ingin menyemak ketidakpatuhan prosedur oleh AG kerana kes-kes seperti ini semakin banyak di Mahkamah Majistret," kata Wee sambil menambah bahawa Mahkamah Tinggi telah menetapkan 4 Mac sebagai tarikh pengurusan kes.

Yew didakwa membunuh Syed Muhammad Danial Syed Shakir berhampiran KM293.6 Lebuhraya Utara Selatan antara pukul 1 tengah hari dan 2 petang pada 10 Ogos 2019.

"Anak guam saya telah didakwa pada 22 Ogos tahun lepas di Mahkamah Majistret Kajang mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan tetapi AG hanya memberikan izin pendakwaan sehari sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 Dis tahun yang sama," kata Wee.

Dalam permohonan itu, Yew memohon agar izin pendakwaan mengikut Seksyen 177A(1) Kanun Tatacara Jenayah berkaitan pemindahan sesuatu kes untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi, diisytiharkan sebagai mala fide atau dilakukan dengan niat jahat, dan satu perintah untuk membatalkan pertuduhan membunuh terhadapnya.

Sekitar pukul 1.40 tengah hari pada 10 Ogos 2019, Syed Muhammad Danial, 29, telah didakwa dibunuh susulan pergaduhan berkaitan satu kemalangan kecil dengan Yew di KM239 Lebuhraya Utara Selatan yang menghala ke selatan berhampiran persimpangan Bandar Baru Bangi.

Yew dan Syed Danial dikatakan terlibat dalam insiden kejar-mengejar membabitkan sebuah kereta serta perbalahan yang berlaku antara mereka di persimpangan Bandar Baru Bangi, dan Syed Danial meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah hospital.

Polis kemudian menahan Yew dan isterinya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kedua-duanya ditahan reman selama seminggu sehingga 17 Ogos 2019 dan isteri Yew telah dibebaskan. Yew ditahan di penjara Sungai Buloh sehingga hari ini sementara menunggu kesnya selesai.

- Bernama

Lihat Komen