malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hadi disaran baca laporan sebelum label G25 lebih bahaya dari al-Maunah
ADS

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, dinasihatkan agar membaca dan memahami kandungan laporan kumpulan G25 sebelum melabel pertubuhan terbabit dengan al-Maunah.

Jurucakap G25, Noor Farida Ariffin, berkata kenyataan dibuat Abdul Hadi pada pertengahan Jan lalu mengaibkan, malah dikhuatiri akan mengapi-apikan golongan tertentu untuk bertindak di luar undang-undang.

Katanya, kata-kata tersebut merupakan kesalahan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan, iaitu membuat kenyataan dengan niat hendak mengapi-apikan atau mungkin mengapikan golongan atau kaum melakukan kesalahan ke atas golongan atau kaum lain.

"Dia telah kata macam-macam terhadap kami dan ia serangan yang tidak adil sebab ternyata dia tak pernah membaca buku (laporan) itu dan salah sangka mengenai isi kandungannya.

"Kandungan buku (laporan) itu bukan tenets of Islam (rukun Islam) tapi merupakan laporan dan kajian terhadap pentadbiran Islam di Malaysia, khususnya melihat kepada peranan dan fungsi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir, seorang lagi anggota G25, Alwi Jantan.

Noor Farida merujuk kepada laporan yang dikeluarkan kumpulan G25 - yang dianggotai bekas penjawat awam kanan kerajaan - bertajuk Administration of Matters Pertaining Islam.

Dulu kecam Umno kafir

Antara lain laporan itu mendakwa kewujudan Jakim bercanggah dengan perlembagaan serta apa yang dilakukan seseorang Muslim terhadap agamanya adalah urusan individu terbabit dengan Tuhan.

Laporan itu juga mengatakan ada undang-undang berkenaan Islam tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.

Abdul Hadi pada 17 Jan lalu kemudian membuat kenyataan melabel G25 sebagai kumpulan makhluk perosak, jahil dan bebal serta lebih bahaya daripada kumpulan militan al-Maunah.

Ekoran kenyataan tersebut G25 mendesak Abdul Hadi memohon maaf secara terbuka.

"Jelas sekali, motif beliau adalah kepentingan politik yang dia tunjukkan melalui kerjasama rapat PAS dengan Umno pada masa ini walaupun mereka sebelum ini mengecam Umno sebagai kafir," kata kumpulan tersebut pada 31 Jan lalu.

Noor Farida juga berkata, G25 berharap Abdul Hadi akan didakwa di mahkamah atas tuduhan memfitnah.

Sementara itu peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata G25 membuat laporan polis kerana kenyataan ahli parlimen Marang itu dikhuatiri boleh memberikan kesan buruk kepada kumpulan itu.

"Jadi G25 risau, sebab apa yang mereka mahu adalah untuk memperbaiki pentadbiran Islam di Malaysia

“Mereka khuatir kata-kata yang dilontarkan Abdul Hadi boleh menimbulkan kemarahan pihak tertentu dan boleh menyebabkan hasutan.

"Jadi semua ini akan memberi kesan kepada keselamatan G25,” katanya.

Lihat Komen