malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes tetak maut: Pasangan suami isteri ditahan bantu siasatan
ADS

Sepasang suami isteri ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang lelaki maut dipercayai ditetak ketika dalam perjalanan menunaikan solat Jumaat di Puchong Perdana, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat, berkata pasangan terbabit ditahan di Taman Puchong Perdana, Sepang, kira-kira jam 2.30 petang Isnin.

Katanya suspek berusia 37 dan 27 tahun serta dipercayai mempunyai pertalian kekeluargaan dengan mangsa.

"Kedua-dua suspek kini direman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 320 Kanun Keseksaan, iaitu kerana bunuh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Sepang di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, hari ini.

Jumaat lepas, seorang ahli perniagaan maut dipercayai ditetak seseorang di stesen LRT di Puchong Perdana, kira-kira 1.40 tengah hari. Mangsa ketika itu dalam perjalanan menunaikan solat Jumaat.

Pada majlis itu, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof, 53, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Polis Daerah Muallim, menerima tugas sebagai Ketua Polis Daerah Sepang yang baharu, mengantikan ACP Abdul Aziz Ali, 57, yang akan memulakan tugas sebagai Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Perancangan Strategik) di Johor.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin.

- Bernama

Lihat Komen