malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
IGP tegaskan Jho Low dalam senarai notis merah pihak berkuasa
ADS

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menegaskan bahawa nama Low Taek Jho atau Jho Low yang kini dalam pelarian ada dalam senarai notis merah Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol).

Kenyataan itu dibuat selepas beberapa pihak menyedari ketiadaan nama Jho Low pada senarai individu yang dikehendaki di laman web Interpol.

Hamid menjelaskan bahawa ketiadaan nama Jho Low dalam senarai dalam talian adalah kerana nama ahli perniagaan itu berada dalam senarai lain yang hanya terhad kepada pihak berkuasa.

"Ada dua kategori red notice (notis merah) iaitu satu yang boleh dikongsi kepada awam dan satu lagi hanya dihadkan kepada agensi penguat kuasa sahaja.

"Siapa yang kata (nama Jho Low) tak ada red notice datang jumpa saya di pejabat," katanya kepada media di Kuala Lumpur, hari ini.

Jho Low sebelum ini dipercayai telah ditawarkan suaka oleh sebuah negara di Eropah sejak tahun lepas, dikatakan atas alasan penganiayaan politik.

Dalam temu bual dengan Straits Times Singapura pada bulan lepas, Jho Low memberi gambaran bahawa negara itu merupakan negara yang mematuhi Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah.

Sementara itu, mengaitkan dengan perkembangan Covid-19, Hamid berkata sekiranya Jho Low kembali ke Malaysia, dia akan menerima rawatan yang terbaik.

"Sebelum ini, perisikan kata dia (Jho Low) dikesan berada di Wuhan. Mana tahu, saya dah minta KLIA perhatikan sekiranya dia balik dengan Covid-19 ke sini.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kita terbaik.. sembilan pesakit disembuhkan. Kalau dia kena (jangkit) minta balik (Malaysia), kita beri rawatan betul-betul terbaik," katanya.

Jho Low sebelum ini menuduh kerajaan Malaysia menggunakan kesnya untuk menghapus tumpuan antarabangsa daripada masalah dalaman negara.

"Malaysia sepatutnya menghormati tanggungjawab dalam perjanjian antarabangsa dan bukannya mengabaikan kedaulatan undang-undang dan mengejar strategi mengalihkan tumpuan orang awam di media daripada masalah sebenar di Malaysia, seperti perkauman, hilang kehormatan di peringkat antarabangsa, dan lain-lain," katanya.

Meskipun berada dalam pelarian, Jho Low sering mengeluarkan kenyataan melalui peguamnya, dengan menegaskan bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dalam skandal 1MDB.

Lihat Komen