malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dana al-Aqsa diseleweng? NGO kata salur terus, banyak ke Gaza
Diterbitkan:  Feb 19, 2020 4:07 PM
Dikemaskini: 8:12 AM
ADS

NGO tempatan tampil membersihkan diri masing-masing dari dakwaan penyelewengan dana Masjid al-Aqsa yang dikutip daripada rakyat Malaysia.

NGO itu menjelaskan penyaluran dana mereka tidak dibuat melalui kedutaan, disalur terus dan kebanyakannya dihantar ke Gaza.

Palestin terdiri daripada dua kawasan utama iaitu Gaza dan Tebing Barat.

Timbalan Presiden Muslim Care, Mohd Johari Ismail berkata, kebanyakan NGO tidak melalui kerajaan untuk menyerahkan sumbangan.

“NGO Malaysia tidak melalui kedutaan kerana Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) tidak mesra dengan kita,” beliau dipetik sebagai berkata oleh Harian Metro.

Semalam, akhbar itu melaporkan jutaan ringgit dana sumbangan rakyat Malaysia untuk Masjid al-Aqsa tidak pernah sampai kepada Jabatan Wakaf Baitulmaqdis yang mentadbir masjid itu.

Jabatan Wakaf Baitulmaqdis ditadbir oleh Kementerian Wakaf Jordan bagi pihak berkuasa Palestin.

Akhbar itu difahamkan Malaysia antara negara yang banyak menganjurkan kutipan dana al-Aqsa.

Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali berkata, mereka mengesan kepincangan itu sejak dua tahun lalu.

Perkara itu disedari selepas menerima maklumat Jabatan Wakaf Baitulmaqdis tidak memperoleh sumbangan untuk pelbagai tujuan, termasuk pembangunan dan pembebasan Masjid al-Aqsa.

“Kami difahamkan oleh jabatan itu, sumbangan dana rakyat Malaysia selama ini tidak pernah sampai kepada mereka.

“Perkara ini juga disahkan Imam Masjid al-Aqsa sendiri yang berkunjung ke Malaysia baru-baru ini mendedahkan mereka tidak pernah terima dana sumbangan rakyat Malaysia sejak sekian lama.

“Kita juga mempunyai bukti memang wujud penyelewengan ke atas dana Palestin dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” beliau dipetik sebagai berkata.

Walid berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan pengurusan kanan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di Kuala Lumpur semalam.

Walid turut meminta rakyat Malaysia berwaspada dengan penipuan aktiviti mengutip dana yang mempergunakan nama Masjid al-Aqsa.

“Saya rasa rakyat Malaysia yang selama ini menderma, tidak menyedari sumbangan mereka tidak pernah sampai kepada pengurusan Masjid al-Aqsa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Media dan Korporat Aman Palestin, Anas Abdul Wahab berkata, bantuan pihaknya disalurkan terus menerusi wakil mereka di Palestin.

“Aman Palestin memberi tumpuan membantu dalam aspek kebajikan untuk rakyat Palestin seperti ubat-ubatan, makanan, pakaian dan tajaan rawatan hospital (pembedahan).

“Sumbangan Aman Palestin tidak melalui kerajaan tetapi disalurkan terus kepada rakyat Palestin dengan seliaan wakil kami di sana,” beliau dipetik sebagai berkata.

Pengerusi MyCare Profesor Madya Dr Hafidzi Mohd Noor pula berkata, banyak dana rakyat Malaysia disalurkan ke Gaza berbanding di Baitulmaqdis.

Harian Metro juga melaporkan rakyat Malaysia tunggal di Palestin, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman berkata NGO Malaysia banyak memberi tumpuan kepada rakyat Palestin terutama di Gaza.

“Gaza berjaya menampilkan isu Palestin yang mana peranan itu diambil Hamas.

“Setakat yang saya pernah bekerjasama dengan NGO Malaysia, kebanyakannya melancarkan kutipan dana dan program untuk Gaza manakala sebahagian kecil disalurkan ke Baitulmaqdis,” katanya yang juga pengasas Persatuan Cinta Gaza Malaysia (PCGM).

Lihat Komen