BERITA

'Raja jin' direman 14 hari

Bernama

19 2月 2020, 7:42 早上

Dikemaskini 4 bulan lepas

A
+
A
-

Seorang lelaki yang mendakwa dirinya 'Raja Jin' di sebuah surau sekitar kawasan hutan simpan Bukit Bauk di Dungun, direman 14 hari bermula hari ini.

Perintah reman ke atas suspek berusia 34 tahun itu dikeluarkan Majistret Hazwani Husin Bustari, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983.

Suspek juga akan dibawa ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik di Besut.

Semalam, lelaki tersebut ditahan polis di sebuah surau di kawasan hutan simpan Bukit Bauk pada 3.20 petang, dan hasil saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah berkata lelaki itu menjadikan surau berkenaan sebagai tempat tinggal dan kehadirannya mula menimbulkan kegusaran kepada orang awam yang ingin singgah solat atau beriadah, di sekitar kawasan hutan simpan itu, apabila dia menghiasi kawasan sekitar serta bahagian dalam surau dengan kain kuning dan pelbagai lagi simbol, serta perhiasan.

Katanya siasatan mendapati Oktober lepas, lelaki itu ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan dihantar ke Hospital Permai, Johor Bahru, Johor, sebelum disahkan menghidap penyakit berkaitan mental.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.