malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Hari ke-9: Peguam kanan saling berbalas jeritan di mahkamah
ADS

LANGSUNG | Perbicaraan rasuah terhadap isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak, Rosmah Mansor, berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar melibatkan 369 sekolah luar bandar di Sarawak bersambung hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Malaysiakini membawakan laporan langsung perbicaraan yang masuk hari kesembilan.


2.10 petang: Bekas ketua setiausaha kementerian pendidikan Madinah Mohamad dilepaskan dari kandang saksi selepas pihak pendakwaan selesai melakukan pemeriksaan semula.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian membenarkan prosiding ditangguhkan hari ini dan disambung pagi esok.


Peguam senior saling menjerit di mahkamah

1.58 tengah hari: Pemeriksaan terhadap bekas ketua setiausaha kementerian pendidikan, Madinah Mohamad sedikit terganggu apabila dua peguam kanan saling berbalas jeritan dalam mahkamah.

Ini berlaku apabila DPP Gopal Sri Ram menyoal saksi berkenaan sama ada Rosmah Mansor, yang merupakan isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak, telah membantah apabila pembantunya Rizal Mansor memperkenalkannya sebagai pegawai khas beliau.

Peguam bela Akberdin Abdul Kader kemudian membangkitkan bantahan dengan mengatakan bahawa Sri Ram telah menyoal saksi itu untuk mendapatkan jawapan dikehendakinya.

Sri Ram, yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, memberitahu mahkamah bahawa kejadian yang dirujuk beliau itu berlaku di hadapan Rosmah.

Pada ketika ini, peguam bela utama, Jagjit Singh berdiri, dan membantah soalan dengan suara yang tinggi.

Ini menimbulkan kemarahan Sri Ram, yang berpaling kepada Jagjit dan memberitahunya supaya tidak menjerit.

"Jangan jerit pada saya!"

Jagjit, bagaimanapun menjerit sekali lagi kepada Sri Ram :"Sebab kamu pekak!"

Berikutan itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan campur tangan dan memberitahu Jagjit supaya bertenang.

Bekas KSU nafi terima wang daripada Rosmah

1.50 petang: Bekas KSU Kementerian Pendidikan, Madinah Mohamad dalam keterangannya mengatakan tidak pernah mengambil wang daripada tertuduh Rosmah Mansor dan tiga yang lain berhubung projek solar hibrid.

Saksi pendakwaan keenam itu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh DPP Gopal Sri Ram.

Sri Ram bertanya Madinah mengenai soalan ketika pemeriksaan balas awal hari ini, di mana ia menunjukkan beliau mempunyai kepentingan dalam perkara berkenaan.

Ram Sri: Adakah kamu menerima apa-apa wang daripada Jepak (Holdings, syarikat yang dikaitkan dengan rasuah projek solar) atau Saidi (Abang Samsudin, pengarah urusan Jepak), atau Rayyan (Radzwill Abdullah, rakan kongsi Saidi) atau tertuduh (Rosmah) dalam hal ini?

Madinah: Saya tidak pernah menerima apa-apa wang daripada mana-mana daripada mereka.


Peguam selesai soal balas bekas KSU

1.45 tengah hari: Peguam bela Akberdin Abdul Kader memberitahu mahkamah bahawa beliau selesai melakukan pemeriksaan balas ke atas bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Madinah Mohamad.

Timbalan pendakwa raya (DPP) Gopal Sri Ram kemudian memulakan pemeriksaan utama terhadap saksi berkenaan.


Rayyan ganggu, ugut pegawai Kementerian Pendidikan - Madinah

1.30 tengah hari: Mahkamah diberiahu bahawa seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan Jepak Holdings membuat lawatan ke Kementerian Pendidikan dan mengganggu pegawainya agar mempercepatkan proses kelulusan projek solar hibrid.

Bekas KSU Menteri Pendidikan, Madinah Mohamad berkata demikian ketika menjawab soalan daripada peguam bela Akbderin Abdul Kadir mengenai individu yang dikenali sebagai 'Rayyan', atau nama penuhnya Rayyan Radzwill Abdullah.

Menurut saksi berkenaan yang memegang jawatannya antara Jun 2013 dan September 2016, beliau diberitahu mengenai gangguan Rayyan oleh kakitangannya.

Lelaki itu juga bahkan mengugut pegawai kementerian itu, kata Madinah.

"Ya, semasa saya jadi KSU KPM, saya dapat menerima aduan melalui pegawai khas saya bahawa ada seorang nama Rayyan mengganggu pegawai-pegawai di bahagian perolehan dan pembangunan KPM.

"Nama orang ni Rayyan, beliau cakap kasar dan ugut pegawai-pegawai ni jika tak segerakan kerja ni beliau akan adu kepada PM. Beliau juga demand nak jumpa KSU.

"Dan pegawai-pegawai saya pun minta bantuan saya jumpa Rayyan kerana mereka tak tahan lagi ugutan dan kata-kata kasar Rayyan," jelasnya.

Madinah menjawab soalan Akberdin tentang mengapa beliau melayani individu seperti Rayyan, yang telah menjatuhkan nama perdana menteri.


1.15 tengah hari: Prosiding disambung semula.


12.57 tengah hari: Mahkamah berhenti rehat seketika. Prosiding akan diteruskan sepanjang waktu makan tengah hari sehingga ditangguhkan jam 2.30 petang.


'Rosmah tak pernah minta Madinah tengokkan projek solar'

12.30 tengah hari: Peguam mendakwa Rosmah Mansor tidak pernah meminta bekas ketua setiausaha (KSU) Kemententerian Pendidikan, Madinah Mohamad untuk mempercepatkan projek tenaga solar.

Semasa pemeriksaan balas terhadap Madinah, peguam Akberdin Abdul Kader berkata menurut arahan Rosmah, dan sejauh yang dia ingat, Rosmah tidak pernah memberitahu Madinah perkara itu.

Akberdin merujuk kepada kenyataan saksi Madinah, di mana beliau mendakwa bahawa semasa program Permata yang tidak diingati tarikhnya, Rosmah telah meminta beliau untuk melihat projek solar berkenaan dengan proposal dari Jepak Holdings.

Akberdin: Ini adalah arahannya (Rosmah). Setakat yang dia ingat dan apa yang dia beritahu SPRM dalam kenyataannya (direkodkan oleh SPRM), di acara Permata ini di mana tarikh itu tidak dinyatakan atau acaranya pun, dia tidak pernah mengatakan ini (kepada Madinah).

Ada kemungkinan dia tidak mengeluarkan kenyataan ini (kepada Madinah), kerana dia beritahu SPRM.

Madinah: Bagi saya ia berlaku kerana saya ingat. Jadi saya tak setuju.


'Rosmah habiskan banyak masa untuk Permata demi faedah pelajar'

12.24 tengah hari: Bekas ketua setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan, Madinah Mohamad berkata Rosmah Mansor memberikan banyak masa dan perhatian kepada Permata kerana prihatin dengan pendidikan anak-anak.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Akberdin Abdul Kader, saksi pendakwaan itu berkata sifat penyayang dan keperihatinan Rosmah berjaya membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia.

"Ia adalah idea Rosmah sendiri, dia mengambil serius pendidikan dan perkembangan kanak-kanak, dia mahu berikan yang terbaik kepada kanak-kanak di Malaysia.

"Beliau berikan banyak masa dan perhatian kepada Permata. Terdapat banyak kejayaan kanak-kanak kurang bernasib baik kerana perhatian beliau dan sifat penyayangnya kepada anak-anak.

"Itu adalah visi beliau dan beliau sentiasa memastikan setiap kementerian perlu memainkan peranan dalam memastikan Permata berjaya.

"Ia memainkan peranan penting dalam sistem pendidikan kerana ia memberi peluang kepada kanak-kanak dari sekolah rendah ke menengah untuk mendapat pendidikan yang sewajarnya," kata Madinah.


Hakim tegur peguam tanya soalan peribadi kepada bekas KSU

12.15 tengah hari: Prosiding menyaksikan pertikaman lidah apabila peguam Akberdin Abdul Kader mula menyentuh perkara yang sangat peribadi kepada saksi, Madinah Mohamad semasa pemeriksaan balas.

Ini berlaku apabila peguam itu bertanya bekas Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) Pendidikan itu berapa rapat beliau dengan tertuduh, Rosmah Mansor.

Akberdin kemudian menyebut mengenai perbincangan khusus antara Madinah dan Rosmah semasa lawatan rasmi ke luar negara beberapa tahun yang lalu.

Pada ketika ini, hakim Mohamed Zaini Mazlan mula bertanya peguam apakah relevannya soalan itu, tetapi Akberdin mengatakan bahawa beliau akan menunjukkan kepada mahkamah sebentar lagi.

Peguam itu kemudian meneruskan soalannya dengan mula bertanya lebih mendalam berserta butiran terpeinci. 

Akberdin juga meminta maaf kepada Madinah dengan mengatakan tidak berniat untuk memalukan beliau.

Pada ketika ini, DPP Akram Gharib menimbulkan bantahan, mempersoalkan apakah relevan tindakan Akberdin. 

Akram juga menyebut beberapa seksyen dalam Akta Keterangan, mengatakan bahawa mahkamah hendaklah melarang sebarang soalan yang berniat untuk menghina atau mencetuskan kebimbangan.

DPP Gopal Sri Ram juga mengatakan bahawa Akberdin telah menghina saksi.

"Paling tidak wajar bagi seorang peguam," kata Sri Ram.

Akberdin mempertahankan tindakan beliau dengan mengatakan hanya mahu menunjukkan mengenai perkara peribadi yang telah dibincangkan kedua-duanya.

Hakim kemudian membuat ketetapan dengan mengarahkan Akberdin terus bertanya soalan tanpa membuat kenyataan mengenai perkara itu kepada saksi.

Zaini juga mengarahkan kenyataan Akberdin sebelum itu dihapuskan dari rekod mahkamah, dan memberitahu petugas-petugas media untuk tidak melaporkannya.

Akber: Tadi Tan Sri setuju ada bincang dengan Datin Seri Rosmah, setuju ada bincang masalah peribadi?

Madinah: ada


Hakim benarkan bantahan terhadap soalan mengenai keikhlasan Najib berkaitan minit projek solar

11.56 pagi: Mahkamah Tinggi membenarkan bantahan pihak pendakwaan terhadap soalan peguam sama ada tidak salah bagi bekas perdana menteri Najib Razak mengeluarkan minit berkaitan projek solar sekiranya beliau ikhlas.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membolehkan bantahan oleh DPP Gopal Sri Ram terhadap soalan balas oleh peguam bela, Akberdin Abdul Kader.

Akberdin bertanya bekas KSU Kementerian Pendidikan, Madinah Mohamad sama ada tidak menjadi kesalahan jika Najib mengeluarkan dua minit berkaitan projek solar dengan keinginan yang ikhlas untuk kebaikan murid-murid di sekolah-sekolah Sarawak.

Pada ketika ini, Sri Ram membantah dengan mengatakan bahawa ia sama dengan soalan undang-undang, dan Zaini membenarkan bantahan.

Zaini juga mengingatkan Akberdin bahawa isu itu boleh dibangkitkan semasa penghujahan di akhir peringkat pendakwaan dan bukannya sekarang.


11.44 pagi: Prosiding disambung semula.


11.25 pagi: Prosiding berhenti rehat seketika.


Peguam tekan KSU kerana gagal nasihat Najib dalam projek solar

11.00 pagi: Peguam bela Akberdin Abdul Kader beralih soalannya kepada bekas ketua setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan, Madinah Mohamad sama ada beliau mengambil inisiatif untuk menasihat Najib Razak dalam projek solar hibrid atau tidak.

Akberdin berulang kali menyoal saksi itu sama ada dia telah mengambil apa-apa inisiatif bertemu Najib, yang merupakan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,  untuk memberitahunya bahawa projek itu tidak boleh dilaksanakan.

Peguam itu juga bertanya sama ada Madinah telah menulis kepada Najib untuk memberitahu beliau mengenai cabaran yang dihadapi oleh Kementerian Pendidikan dalam memproses proposal Jepak Holdings untuk menjalankan projek itu.

Madinah kemudian memberitahu mahkamah bahawa sebagai KSU, beliau perlu mengikut hierarki dan tidak berada pada kedudukan untuk terus mendekati Najib.

Saksi itu berkata beliau telah memaklumkan isu-isu berkenaan kepada Menteri Pendidikan, Mahdzir Khalid, yang telah berjanji untuk membawanya kepada perhatian Najib.

Madinah juga tidak bersetuju dengan cadangan Akberdin bahawa adalah tidak adil bagi beliau datang ke mahkamah dan menuduh Najib sedangkan beliau tidak pernah menasihati Najib berkenaan projek ini.


Mahkamah diberitahu peguam perlu teliti setiap bahagian 150 muka surat kenyataan saksi

10.56 pagi: Mahkamah diberitahu bahawa peguam Rosmah Mansor perlu menangani setiap perkara yang dibangkitkan dalam 150 halaman kenyataan saksi yang dibacakan oleh bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan Madinah Mohamad.

Peguam bela Akberdin Abdul Kader memberitahu Hakim Mohamed Zaini Mazlan bahawa pihak pembelaan perlu bertanya setiap perkara yang dibangkitkan dalam kenyataan saksi yang panjang itu.

"Ini adalah 150 muka surat kenyataan berperenggan saksi. Kami bukan melambatkan prosiding tetapi kami perlu menangani setiap bahagian. Ia adalah kenyataan saksi mereka (pendakwa)," kata Akberdin.

Madinah adalah keenam saksi pendakwaan keenam.


Pegawai MOF tegas tolak proposal Jepak walaupun diarah Najib

10.35 pagi: Mahkamah diberitahu bagaimana seorang pegawai Kementerian Kewangan, yang mengetuai Bahagian Perolehan Kerajaan (GPD) pada 2016, telah mengemukakan bantahan terhadap proposal Jepak Holdings untuk melaksanakan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah di Sarawak.

Semasa pemeriksaan balas terhadap bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Madinah Mohamad, peguam Akberdin Abdul Kader menunjukkan mahkamah dua memo yang dihantar oleh Othman Semail yang mengetuai GPD pada 2016, kepada perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Dalam memo itu, Othman memberitahu Najib, yang juga menteri kewangan pada masa itu, bahawa projek itu tidak boleh dipertimbangkan dan tidak dapat dijalankan kerana kekangan kewangan kerajaan.

Pegawai itu menulis memo ini kepada Najib walaupun minit perdana menteri itu menyatakan persetujuannya agar projek itu diluluskan.

Ditunjukkan dengan dokumen, Madinah kemudian bersetuju cadangan peguam, yang Othman tegas dalam menyatakan bahawa projek solar tidak sepatutnya dilaksanakan.


Minit Najib tak semestinya diikuti, kata peguam

10.25 pagi: Pihak pendakwaan dan pembelaan berbalah berhubung soalan sama ada minit Perdana Menteri Najib Razak adalah untuk dikuti secara kebiasaannya atau tidak.

DPP Gopal Sri Ram dan peguam Akberdin Abdul Kader bertikam lidah selepas Akberdin menyoal saksi keenam pendakwaan, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Madinah Mohamad.

Akberdin bertanya Madinah mengenai memo yang melibatkan surat daripada Jepak Holdings.

Memo itu membangkitkan kebimbangan berhubung penamatan kontrak generator kepada sekolah-sekolah di Sarawak, kerana ia boleh membawa perkara itu diheret ke mahkamah dan membawa kesan negatif kepada kerajaan.

Sri Ram kemudian berdiri dan bertanya apakah kaitan soalan itu kerana perbicaraan ini bukan terhadap Najib.

Akberdin membalas bahawa pihak pendakwaan mengemukakan minit itu dalam prosiding, dengan alasan pihak pembelaan ingin menunjukkan bahawa minit Najib tidak perlu diikuti kebiasaannya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan soalan berkenaan ditanya.


10.10 pagi: Perbicaraan bermula. Turut kelihatan di mahkamah ialah timbalan pendakwa raya (DPP) Gopal Sri Ram dan DPP lain, serta peguam bela Akberdin Abdul Kader, Jagjit Singh dan Azrul Zulkifli Stork dan anggota pasukan pembelaan.


9.47 pagi: Rosmah Mansor memasuki Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan mengambil tempat di kandang tertuduh sambil menanti prosiding bermula.


Perbicaraan rasuah terhadap isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak, Rosmah Mansor, berhubung projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah di Sarawak diteruskan pada hari kesembilan hari ini.

Pihak pembelaan hari ini dijadualkan akan meneruskan pemeriksaan balas terhadap bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan (MOE), Madinah Mohamad, yang memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan keenam.

Berikutan mahkamah ditangguhkan tengah hari semalam untuk membolehkan peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kader, yang tidak sihat supaya berehat, peguam itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau memerlukan sekurang-kurangnya satu hari untuk menjalankan soal balas ke atas Madinah.

Madinah yang memberikan keterangannya dalam pemeriksaan oleh pendakwaan sejak Khamis lalu, membuat pendedahan mengejutkan dengan mendakwa menerima tekanan Najib, Rosmah, pembantunya Rizal Mansor serta individu yang dikaitkan dengan Jepak Holdings agar kementerian meluluskan projek itu.

Ini termasuk satu insiden pada 2016, apabila Rosmah didakwa memberitahu Madinah secara peribadi untuk "meneliti projek solar Jepak" dan mempercepatkannya".

Saksi itu juga memberitahu mahkamah bahawa KPM hanya mempertimbangkan proposal Jepak berikutan minit Najib pada Nov 2015 dan Jun 2016, yang mengarahkan MOE meluluskan proposal syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, semasa prosiding semalam, pihak pembelaan menunjukkan kepada saksi bahawa kelihatan seperti berlaku percanggahan dalam kenyataan beliau.

Akberdin berkata Madinah memberi keterangan bahawa minit Najib pada surat syarikat itu adalah normal dan tidak bermaksud bahawa KPM boleh melaksanakan arahan itu tanpa perancangan yang betul atau melanggar prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan.

Beliau mencadangkan kepada saksi bahawa kenyataan beliau di mahkamah yang menyalahkan minit Najib dibuat dengan niat tidak baik, dan adalah satu usaha untuk menjadikan Najib sebagai kambing hitam.

Madinah tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Peguam itu juga mencadangkan kepada Madinah bahawa terdapat percanggahan antara apa yang beliau beritahu mahkamah dan tindakannya semasa menjadi KSU kementerian pendidikan.

Merujuk kepada memo dari Madinah kepada Menteri Pendidikan pada masa itu, Mahdzir Khalid, Akberdin berkata saksi itu pada 2016 menyokong proposal Jepak dan berkata bahawa projek solar hibrid adalah pilihan lebih baik untuk membekalkan tenaga elektrik di sekolah, berbanding penjana diesel sedia ada.

Apabila Madinah bersetuju bahawa beliau pernah menyokong proposal syarikat dalam memonya kepada Mahdzir, Akberdin kemudian menunjukkan mahkamah keterangan bertulis Madinah, terutamanya bahagian di mana beliau berkata "genset diesel adalah kaedah yang berkesan untuk membekalkan elektrik" kepada sekolah-sekolah".

Madinah ada mulanya tidak bersetuju bahawa kenyataan dibuatnya bercanggah, namun akhirnya mengakui terdapat percanggahan selepas ditekan oleh Akberdin.

Akberdin: Tak setuju? Saya dah baca. Ayat itu pendek, Senang nak faham. Tak setuju? Dulu awak sokong (projek hibrid) solar. Sekarang awak sokong genset.

Madinah: Dari segi itu memang ada percanggahan.

Lihat Komen