malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Imigresen nafi buat operasi di pekarangan kuil
Diterbitkan:  Feb 18, 2020 5:39 PM
Dikemaskini: 10:14 AM
ADS

Jabatan Imigresen hari ini menafikan laporan media berbahasa Tamil yang mendakwa penguat kuasanya melakukan operasi terhadap gerai-gerai perniagaan di pekarangan Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves, Selangor.

Ketua pengarahnya, Khairul Dzaimee Daud, berkata tidak seperti dilaporkan, operasi berkenaan hanya dibuat di kawasan perniagaan sekitar pekarangan kuil terbabit.

“Operasi penguatkuasaan yang dijalankan pada 14 Feb 2020 oleh bahagian penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor tidak dijalankan di kawasan ibadat Kuli Sri Subramaniar.

“Sebaliknya, operasi hanya dijalankan di kawasan perniagaan sekitar pekarangan kuil tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 14 Feb lalu, suatu rakaman video memaparkan kekecohan di kuil berkenaan tular di media sosial.

Ia memaparkan kira-kira 50 anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor dihalau keluar dari kawasan peniaga haram -dipercayai dari India dan Pakistan - oleh ahli jawatankuasa kuil berkenaan.

Mereka juga dilemparkan dengan kata-kata kesat.

Insiden itu menyebabkan Jabatan Imigresen membuat laporan polis dan Khairul sendiri menyatakan mereka tidak gentar dengan tindakan provokasi oleh pihak-pihak yang melindungi pendatang tanpa izin di negara ini.

Banyak buat operasi pasar borong

Mengulas lanjut mengenai insiden itu, Khairul berkata, pihaknya melakukan operasi berdasarkan aduan dan maklumat awam tentang warga asing yang berniaga di kawasan itu.

Katanya aduan diterima melalui panggilan telefon, surat, e-mel dan Sistem Pengurusan Aduan Awam (Sispaa).

“Selain itu, jabatan imigresen turut menjalankan risikan dan mendapati terdapat warga asing yang berniaga di kawasan tersebut,” katanya lagi.

Mengulas mengenai dakwaan jabatan itu tidak mengambil tindakan terhadap pasar-pasar borong, Khairul Dzaimee berkata, sebanyak 21 operasi telah dijalankan di pasar borong sejak 1 Jan hingga 14 Feb ini, melibatkan 138 orang diperiksa dan seramai 89 orang pendatang asing tanpa izin (Pati) ditangkap.

Bagi 2019 pula, katanya, 133 operasi dijalankan di pasar borong sekitar Lembah Klang, melibatkan seramai 1,581 orang diperiksa, 726 Pati serta 54 orang majikan ditangkap.

“Pada tahun ini - setakat 14 Feb - jabatan imigresen menjalankan sebanyak 2,292 pperasi penguatkuasaan di seluruh Malaysia.

“Seramai 28,994 orang telah diperiksa dan dari jumlah tersebut sebanyak 7,760 orang Pati ditangkap serta 135 orang majikan telah ditahan,” katanya lagi.

Lihat Komen