malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes rasuah Rosmah: Madinah jadikan Najib kambing hitam, kata peguam
ADS

KES ROSMAH l Peguambela isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor hari ini merobek keterangan bekas ketua setiausaha (KSU) kementerian pendidikan, Madinah Mohamad dan menuduhnya cuba menjadikan Najib Razak sebagai kambing hitam.

Madinah, selepas diasak oleh peguam bela, Akberdin Abdul Kader semasa pemeriksaan balas, akhirnya mengakui bahawa dirinya membuat kenyataan yang tidak konsisten di mahkamah.

Tampil sebagai saksi pendakwaan keenam dalam kes perbicaraan Rosmah, Madinah mulanya mengkritik projek hibrid solar kementerian pendidikan dengan mengatakan ia kurang berdaya maju berbanding penjana kuasa diesel.

Katanya, projek hibrid solar tidak sesuai untuk beberapa sekolah di kawasan pedalaman, terutama yang dilitupi hutan yang tebal.

Walau bagaimanapun, Akberdin menegaskan bahawa ini bukan apa yang disampaikannya kepada menteri pendidikan Mahdzir Khalid dalam memorandum  yang bertarikh 16 Jun 2016.

Akberdin: Setuju dengan saya tak, hari ini awak kata macam ini, genset penyelesaian utama.

Hari itu waktu memo kamu 16 Jun 2016 pada menteri, awak kata solar hybrid (adalah) alternatif lebih baik

Jadi setuju dengan saya ini satu percanggahan yang jelas. Setuju?

Madinah: Tidak bersetuju.

Akberdin: Tak setuju? Saya dah baca. Ayat itu pendek, Senang nak faham. Tak setuju?

Dulu awak sokong (projek hibrid) solar. Sekarang awak sokong genset.

Madinah: Dari segi itu memang ada percanggahan.

Madinah menyokong surat penerimaan untuk projek hibrid solar sejurus sebelum beliau bersara sebagai ketua setiausaha kementerian pendidikan pada 2 September 2016.

Beliau kemudiannya dilantik oleh Najib sebagai Ketua Audit Negara pada 27 Feb 2017, menggantikan Ambrin Buang yang bersara akibat tekanan berhubung dakwaan pindaan terhadap laporan audit mengenai 1MDB.

Najib sedang dibicarakan berhubung dakwaan pindaan ke atas laporan audit 1MDB itu.

Pelantikan Madinah pada 2015 itu menimbulkan kontroversi susulan suaminya, adalah ketua Umno Kepong. Malah dia pernah berikrar bahawa dirinya sanggup "mati untuk Najib".

Akberdin dalam pemeriksaan balas hari ini, mendakwa Madinah menukar pendirian selepas kes itu dibawa ke mahkamah.

Akberdin: Kamu datang ke mahkmah hari ini, projek ini 2015 dan 2016, kamu bersara (pada) 2 September dan hari ini 18 Februari 2020 kamu datang ke mahkamah dan kondem projek tu habis-habisan.

Madinah: Tak betul

Akberdin: Apa yang tak betul. Saya katakan tindakan Tan Sri di mahkamah ini niat jahat bila (Tan Sri) keputusan adalah berdasarkan minit perdana menteri (bertarikh) 7 Jun 2016.

Bad faith.

Bila dah tersepit kamu cari kabing hitam.You start to push the blame on others, betul?

Madinah: Tidak betul

Akberdin juga menuduh Madinah mempunyai kepentingan dan gagal memberi nasihat kepada Najib mengenai fakta-fakta projek hibrid solar itu, yang Madinah tidak bersetuju.

Rosmah, 68, berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, diKuala Lumpuri; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 Sept, 2017.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen