malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hakim baru bicara kes rasuah RM1 juta Ku Nan
ADS

Perbicaraan kes rasuah RM1 juta melibatkan bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor  akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi yang baru.

Ini susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 12 Feb lalu yang membenarkan rayuan Tengku Adnan, 69, agar Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes itu dan memerintahkan supaya kes tersebut dipindahkan ke mahkamah lain.

Hari ini semasa pengurusan kes itu, Hakim Mohd Nazlan berkata beliau mengambil maklum keputusan Mahkamah Rayuan dan menarik diri daripada perbicaraan ini.

“Kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi 4 di hadapan Datuk Muhammad Jamil Hussin,” kata Nazlan.

Mahkamah Rayuan sebelum ini membenarkan rayuan Tengku Adnan agar Mohd Nazlan menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes rasuah RM1 juta.

Panel tiga hakim terdiri daripada Yaacob Md Sam, Rhodzariah Bujang dan Hadhariah Syed Ismail membenarkan rayuan Tengku Adnan untuk mengketepikan keputusan Mohd Nazlan yang enggan menarik diri sebelum ini.

Yaacob yang mengetuai panel itu memutuskan, rayuan berkenaan mempunyai merit dan ia mewajarkan campur tangan mahkamah.

Beliau membenarkan rayuan itu agar Mohd Nazlan menarik diri daripada mendengar perbicaraan Tengku Adnan dan supaya kes itu dipindahkan ke mahkamah lain.

Sementara itu, Muhammad Jamil membenarkan rayuan pihak pendakwa raya penangguhan kes dan menetapkan 25 Mac bagi pengurusan kes.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim menghadirkan dalam prosiding di hadapan Muhammad Jamil memberitahu bahawa pihak pendakwa raya membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan keputusan Mahkamah.

“Kami mohon satu tarikh sebutan baru ditetapkan sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Persekutuan serta penangguhan (perbicaraan) yang sudah ditetapkan sebelum ini sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan terhadap permohonan rayuan,” kata Julia.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Chai, 61, melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di Kuala Lumpur pada 14 Jun 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Lihat Komen