malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hari ke-8: Surat Niat dikeluarkan pada Jepak walaupun tiada kepastian MOF - Saksi
ADS

LANGSUNG | Perbicaraan terhadap isteri perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor, berhubung dakwaan rasuah bagi projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak diteruskan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.


Prosiding ditangguhkan ke Rabu

12.45 tengah hari: Hakim Mohamed Zaini Mazlan memerintahkan mahkamah berhenti rehat untuk makan tengah hari, dan memberitahu peguam bela Akberdin Abdul Kader bahawa dia boleh meneruskan pemeriksaan balas terhadap bekas KSU Kementerian Pendidikan, Madinah Mohamad selepas itu.

Bagaimanapun, Akberdin membuat permohonan lisan agar mahkamah ditangguhkan awal hari ini kerana masih belum pulih dari sakit tekak dan perlu mengambil ubat.

Hakim membenarkan permohonan itu, tetapi terlebih dulu bertanya Akberdin berapa banyak masa diperlukan untuk menyelesaikan pemeriksaan terhadap Madinah.

Peguam itu berkata, beliau memerlukan sekurang-kurangnya satu hari lagi.

Zaini kemudian menangguhkan prosiding hari ini.


Surat Niat dikeluarkan pada Jepak walaupun tiada kepastian MOF

12.40 tengah hari: Mahkamah diberitahu bahawa Kementerian Pendidikan (MOE) telah mengeluarkan Surat Niat (LOI) kepada Jepak Holdings bagi projek solar hibrid pada 2016 walaupun kelulusan daripada Kementerian Kewangan (MOF) tidak konsisten.

Bekas ketua setiausaha MOE, Madinah Mohamad berkata kelulusan MOF untuk projek itu tanpa memberikan bajet tambahan bermakna beliau terpaksa mengeluarkan surat niat kepada kontraktor dan pada masa yang sama memohon lebih banyak peruntukan.

"Saya terpaksa mengeluarkan surat niat, walaupun bajet tambahan tidak diluluskan dan terdapat dana yang tidak mencukupi.

"Ini (terpaksa dilakukan) dan pada masa yang sama memohon kepada MOF untuk peruntukan tambahan (untuk projek itu)," kata beliau.


Bekas KSU: 'Dari segi itu memang ada percanggahan'

12.15 tengah hari: Peguam merujuk memo ditulis Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Madinah Mohamad  kepada Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid pada 2016, berhubung cadangan Jepak Holdings untuk mendapat projek solar hibrid.

Dalam memo itu, yang sebahagiannya dibacakan di mahkamah oleh peguam Akberdin Abdul Kader, Madinah memberitahu Mahdzir bahawa projek solar hibrid adalah pilihan yang lebih untuk membekalkan tenaga elektrik kepada 369 sekolah di luar bandar Sarawak berbanding genset diesel sedia ada.

Apabila Madinah bersetuju bahawa beliau pernah menyokong cadangan (proposal) syarikat berkenaan dalam memo beliau kepada Mahdzir, Akberdin kemudian menunjukkan mahkamah keterangan bertulis Madinah, terutamanya bahagian di mana beliau berkata "genset diesel adalah kaedah yang berkesan untuk membekalkan elektrik" kepada sekolah-sekolah.

Beliau kemudian bertanya Madinah jika bersetuju bahawa apa yang wanita itu beritahu mahkamah dalam keterangannya bercanggah dengan surat yang ditulis kepada menteri pada 2016.

Akberdin: Setuju dengan saya tak, hari ni kamu kata macam ni, genset penyelesaian utama. 

Waktu memo kamu 16 jun 2016 kepada menteri, kamu kata hibrid solar alternatif lebih baik. Jadi setuju dengan saya ini satu percanggahan yang Jelas. Setuju?

Madinah: Tidak bersetuju

Akberdin: Tak setuju? Saya dah baca. Ayat tu pendek, senang nak faham. Tak setuju? Dulu kamu sokong solar. Sekarang kamu sokong genset.

Madinah: Dari segi itu memang ada percanggahan. 

Akberdin: Jadi itu cukup. Saya nak dengar tu saja.


Peguam dakwa bekas KSU 'tersepit', cari kambing hitam

12.00 tengah hari: Peguam bela Akberdin Abdul Kader menuduh saksi pendakwaan, Madinah Mohamad cuba untuk menjadikan bekas perdana menteri Najib Razak sebagai kambing hitam beliau dalam isu projek hibrid solar.

Peguam itu membuat dakwaan itu ketika berdepan Madinah, yang juga bekas Setiausaha Kementerian Pendidikan yang dalam keterangannya menyalahkan Najib kerana mengarahkan kelulusan projek berkenaan.

Akberdin berkata ini adalah berbeza daripada apa Madinah katakan dalam satu kenyataan saksi yang sama di mahkamah, di mana saksi itu berkata, dia boleh menolak minit perdana menteri jika ia tidak mengikut prosedur kerajaan.

Akberdin: Saya katakan tindakan Tan Sri di mahkamah ini niat jahat bila (Tan Sri) keputusan adalah berdasarkan minit perdana menteri (bertarikh) 7 Jun 2016. Bad faith.

Bila dah tersepit kamu cari kambing hitam.You start to push the blame on others, (kamu mula cuba menyalahkan orang lain) betul?

Madinah: Tidak betul.


11.41 pagi: Perbicaraan disambung semula.


11.24 pagi:  Prosiding ditangguhkan apabila mahkamah berhenti rehat seketika.


Minit kedua Najib adalah arahan khusus, kata Madinah

11.20 pagi: Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Madinah Mohamad memberitahu mahkamah bahawa dalam keadaan biasa, minit perdana menteri yang mengatakan "sila pertimbangkan" atau "sila laksanakan" dianggap sebagai arahan yang besar.

Selaku ketua setiausaha, katanya, ada ruang untuk menentukan justifikasi bagi mengikut arahan berkenaan dengan mematuhi semua prosedur kerajaan yang sedia ada.

Bagaimanapun, Madinah mendakwa ini tidak berlaku dalam arahan yang dikeluarkan oleh Najib Razak melalui satu minit yang ditulis oleh bekas perdana menteri itu kepada Jepak Holdings pada bulan Jun 2016.

Beliau berkata minit itu adalah arahan khusus untuk menteri pendidikan ketika itu, Mahdzir Khalid (gambar) mematuhi minit awal Najib yang ditulis pada bulan November 2015.

Dalam minit yang ditujukan kepada Mahdzir pada Nov 2015, Najib menyatakan perjanjiannya dengan cadangan Jepak untuk melaksanakan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion bagi 369 sekolah di Sarawak.


Menteri kewangan boleh atasi keputusan MOE - Saksi

11.10 pagi:  Saksi Madinah Mohamad, yang merupakan bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan berkata beliau mempunyai kuasa untuk tidak mematuhi arahan perdana menteri yang bertentangan dengan peraturan dan prosedur kerajaan sedia ada.

Beliau berkata demikian ketika disoal oleh peguam bela Akberdin Abdul Kader, yang mempersoalkan keterangan saksi itu yang menyalahkan bekas perdana menteri Najib Razak kerana mengarahkan Kementerian Kewangan menganugerahkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion kepada Jepak Holdings.

Najib juga merupakan menteri kewangan pada masa itu.

Bagaimanapun, menurut Madinah, walaupun ketua setiausaha perlu mengikut prosedur dalam perkara berkaitan projek-projek kerajaan, ada keadaan di mana tertentu menteri kewangan boleh mengatasi keputusan berkenaan.

Akberdin: Soalan saya, sebelum sampai ke MOF, kenapa kamu entertain (melayani Deepak). Itu maksud saya tu. Kenapa sejak awal kamu menyokng pengeluaran LOI dan SST.

Madinah: Ya, dalam pelaksanaan projek-projek rundingan terus, walau ada garis panduan, garis panduan ini merupakan garis panduan perlu dipatuhi tapi wujud juga keadaan-keadaan tertentu di mana keputusan boleh diatasi oleh menteri kewangan di bawah keadaan tertentu.


Saya tidak boleh menolak cadangan projek solar - Madinah

11.10 pagi: Bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan, Madinah Mohamad bersetuju dengan cadangan dari seorang peguam yang mengatakan kementerian itu sepatutnya menolak cadangan dari Jepak Holdings untuk melaksanakan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk sekolah-sekolah di Sarawak.

Ini selepas beliau ditanya oleh peguam Akberdin Abdul Kader dalam keterangannya, di mana Madinah mengatakan cadangan oleh Jepak bercanggah pekeliling Perbendaharaan, iaitu berisiko tinggi dan tiada dalam rancangan kementerian.

Madinah juga mengatakan bahawa ia adalah satu bentuk pembaziran wang pembayar cukai.

Akberdin kemudian menggasak Madinah dengan mengatakan dia tidak menolak cadangan itu.

Akber: Mengapa kamu tidak menolaknya? Kamu tak tolak, betul? Walaupun kamu sekarang mengecam rancangan itu, tetapi kamu tidak menolaknya. Adakah saya betul atau tidak?

Madinah: Saya tidak boleh menolaknya.


10.40 pagi: Bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan, Madinah Mohamad memberitahu mahkamah bahawa kementerian itu tidak bercadang melaksanakan teknologi solar untuk sekolah-sekolah di kawasan luar bandar di Sarawak.

Dalam keterangannya beliau berkata penyelesaian kekal untuk sekolah-sekolah berkenaan adalah menghubungkannya dengan talian kuasa grid.

Bagaimanapun, disebabkan beberapa sekolah terletak di kawasan terpencil, penyelesaian 'paling berdaya maju' adalah menggunakan genset diesel.

Madinah memberitahu mahkamah bahawa sistem solar tidak sesuai untuk sekolah-sekolah di beberapa kawasan di Sarawak kerana ia terletak di kawasan yang sebahagian besarnya hutan dan diliputi oleh pokok-pokok.


10.05 pagi: Perbicaraan bermula di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan.


10 pagi: Rosmah Mansor memasuki kandang tertuduh sementara menunggu prosiding bermula di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Turut kelihatan ialah bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan, Madinah Mohamad, yang dijadual akan diperiksa balas oleh peguam bela Rosmah hari ini.



Bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan, Madinah Mohamad dijadual kembali ke Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bagi menyambung keterangannya dalam perbicaraan kes rasuah terhadap isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor.

Hari ini merupakan hari kelapan perbicaraan di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Madinah, yang selesai memberi keterangannya dalam pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan semalam, akan diperiksa balas oleh peguam Rosmah.

Pihak pembelaan memohon mahkamah menangguhkan pemeriksaan ke atas beliau semalam disebabkan peguam Akberdin Abdul Kader tidak sihat.

Madinah, dalam keterangannya semalam, memberitahu mahkamah bahawa pemberian projek bernilai RM1.25 bilion untuk memasang sistem solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak tidak mengikut prosedur.

Madinah, yang kemudian dilantik sebagai ketua audit negara, berkata telah mengarahkan audit dijalankan terhadap projek berkenaan.

Jika pemeriksaan terhadap Madinah boleh diselesaikan hari ini, mahkamah juga mungkin memanggil saksi ketujuh pendakwaan Othman Semail untuk diperiksa balas oleh pihak pembelaan.

Othman, yang kini merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, juga selesai memberi keterangan dalam pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan semalam.

Othman berkata Kementerian Kewangan pada mulanya menolak permohonan untuk membayar Jepak Holding pendahuluan sebanyak RM130 juta untuk projek berkenaan.

Lihat Komen