malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Nilai kontrak RM1.25b ditetap Jepak, tiada rundingan dengan kementerian - Saksi
ADS

KES ROSMAH | Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa nilai kontrak RM1.25 bilion bagi projek solar hibrid untuk sekolah luar bandar di Sarawak ditetapkan oleh Jepak Holdings Sdn Bhd tanpa mengadakan rundingan harga dengan Kementerian Pendidikan.

Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan Malaysia Othman Semail, 58, berkata tiada rundingan harga dibuat antara Kementerian Pendidikan dan Jepak untuk mendapatkan nilai terbaik bagi wang sebelum Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan.

"Nilai kontrak bagi projek solar itu sebanyak RM1.25 bilion ditetapkan oleh Jepak dari mula lagi dan diterima sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan.

"Setahu saya, tiada pengurusan nilai dibuat meskipun ia diwajibkan ke atas projek fizikal melebihi RM50 juta," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya T Deepa Nair semasa perbicaraan kes rasuah isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor berkaitan projek solar.

Othman, yang ketika itu Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan, berkata beliau juga tidak pernah mendapat gambaran jelas mengenai keperluan pelaksanaan projek solar hibrid, skop projek dan kemampuan Kementerian Pendidikan untuk membiayai serta keupayaan Jepak melaksanakan projek berkenaan.

Saksi ketujuh pendakwaan itu berkata pelaksanaan projek solar hibrid diberikan kepada Jepak atas arahan dan kelulusan bekas perdana menteri Najib Razak yang ketika itu juga adalah menteri kewangan.

Membacakan penyataan saksinya, Othman berkata pada 10 Nov 2016, Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan SST kepada Jepak untuk melaksanakan projek itu.

"Saya dan Bahagian Perolehan Kerajaan terlibat dalam urusan perolehan projek solar hibrid kerana projek itu kononnya dianugerahkan kepada Jepak melalui kaedah rundingan terus.

"Walaupun projek solar hibrid dikatakan telah diberi kepada Jepak, kononnya menerusi rundingan terus, tetapi berdasarkan pengetahuan saya, peraturan dan proses kerja berkaitan rundingan harga tidak dipatuhi sebelum SST dikeluarkan kepada syarikat itu," katanya.

Beliau juga berkata tidak wujud sebarang dokumen seperti Laporan Hasil Rundingan Harga kepada Pekeliling Perbendaharaan dan berdasarkan surat Jepak bertarikh 6 Nov 2016, ia didapati tidak mengandungi maklumat mencukupi untuk pengeluaran SST.

“Surat itu tidak menceritakan keputusan rundingan harga yang kononnya telah disempurnakan dan berdasarkan pengalaman saya, ini adalah satu-satunya kes yang menyaksikan Najib memberi arahan untuk mengeluarkan SST kepada Mahdzir Khalid, ketika itu menteri pendidikan, berdasarkan permintaan syarikat.

“Bahagian Perolehan Kerajaan tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas Kementerian Pendidikan yang mengeluarkan SST tanpa menjalankan rundingan harga dan hanya sekadar mengambil maklum tindakan itu. Ini kerana SST telah dikeluarkan dan satu ikatan kontrak telah diwujudkan antara Kementerian Pendidikan dan Jepak berdasarkan terma-terma yang dinyatakan dalam SST itu,” katanya.

Othman berkata pada 22 Mac 2017, pihaknya telah menerima permohonan daripada Kementerian Pendidikan untuk pembayaran pendahuluan sebanyak RM130 juta kepada Jepak bagi melaksanakan projek solar itu berdasarkan minit yang dibuat oleh Najib.

“Merujuk kepada surat Jepak kepada Najib, bekas perdana menteri itu ada meminitkan ‘Diluluskan permohonan ini. Sila keluarkan pendahuluan dengan segera',” katanya yang turut memaklumkan Kementerian Pendidikan dikehendaki membuat pembayaran interim berjumlah RM92,073,160.67 kepada Jepak dengan segera kerana syarikat itu telah mengugut untuk memberhentikan bekalan diesel kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah, 68, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantu Rosmah, Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

- Bernama

Lihat Komen