malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Covid-19: Penduduk Selatan Taiwan diarah berjaga-jaga
ADS

Penduduk Taiwan dan mereka yang pernah melawat Kaohsiung dan Tainan dinasihatkan memantau tahap kesihatan, berikutan satu kes Covid-19 dikesan membabitkan pelancong yang pernah mengunjungi negeri di selatan Taiwan itu, lapor Agensi Berita Pusat (CNA).

Menurut Pusat Pemerintah Epidemik (CECC), sebahagian penumpang kapal persiaran MS Westerdam yang berlabuh kira-kira empat jam di Pelabuhan Kaohsiung pada 4 Feb telah mengunjungi beberapa kawasan di Pelabuhan Kaohsiung, Kenting di daerah Pingtung dan Fort Provintia di Tainan.

Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Bandar Kaohsiung, Lin Li-jen, berkata mereka turut melawat Muzium Seni Halus Kaohsiung dan Pelabuhan Anping dan Muzium Chimei di Tainan.

Amaran dikeluarkan selepas seorang wanita Amerika yang merupakan penumpang kapal berkenaan disahkan dijangkiti Covid-19 sebaik tiba di Malaysia, pada Sabtu.

MS Westerdam, membawa 1,455 penumpang dan 802 anak kapal, belayar meninggalkan Hong Kong pada 1 Feb, singgah di pelabuhan Kaohsiung pada 4 Feb.

Pada 12 Feb kapal itu mendapat kebenaran untuk berlabuh di Pelabuhan Sihanoukvillem, Kemboja, dan beberapa penumpang telah memasuki Malaysia.

Pegawai Taiwan bagaimanapun tidak mengatakan sama ada wanita Amerika berusia 83 tahun itu merupakan seorang daripada kira-kira 1,000 penumpang yang turun di Taiwan.

Pada Isnin, Datuk Bandar Tainan Huang Wei-che berkata wanita Amerika itu bukan dalam kalangan penumpang yang melawat kawasan pelancongan di Tainan.

Seramai 171 orang yang berhubung dan berurusan dengan penumpang kapal persiaran itu juga telah dikenal pasti.

Terdapat dua rakyat Taiwan berada di atas kapal MS Westerdam, dikendalikan Holland America Line milik British/Amerika.

Seorang daripadanya berlepas ke Amerika Syarikat, manakala yang lain dijangka pulang ke Taiwan pada Ahad dan akan dikuarantin.

- Bernama

Lihat Komen